Pasangan transgender yang berasal dari Selatan India, tepatnya di Kerala yang sempat menghebohkan dunia kerana status mereka kini selamat bergelar ibu dan bapa.
Ziya Paval dan Zahad sebelum ini mencetuskan sensasi apabila foto pasangan ‘lelakinya’ hamil dengan perut yang sudah membesar.
Zahad dilahirkan sebagai seorang perempuan sebelum mengubah ciptaan Allah SWT kepada seorang lelaki.
Dia kemudian berkahwin dengan seorang penari, Ziya, yang asalnya merupakan perempuan yang menukar jantina kepada lelaki.
Sejak bersama tiga tahun lalu, pasangan transgender itu memutuskan untuk memiliki anak dan Zahad ‘menjalankan tugas hakiki’ seorang wanita dengan hamil anak kepada Ziya.
Selepas kisah ‘unik’ itu tersebar, Ziya mengumumkan Zahad telah selamat melahirkan anak sulung mereka di Instagram.
“Air mata kegembiraan gugur,” tulis Ziya sebagai kapsyen pada foto yang menyaksikan bayi tersebut memegang jarinya.
Ziya bagaimanapun tidak mendedahkan identiti anak mereka yang dilahirkan di sebuah hospital kerajaan di Kozhikode pada Rabu lalu, lapor Independet.co.uk.
Kelahiran bayi tersebut menjadikan Ziya dan Zahad sebagai pasangan transgender pertama India memiliki anak.
Zahad yang baru berusia 23 tahun dan anak yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat.
“Saya sangat gembira kerana dapat memegang anak sendiri,” kata Ziya, 21, seperti dilaporkan ANI.
Dia juga mendakwa anaknya sudah dapat meminum susu dan langsung tidak mempunyai masalah dari segi fizikal atau mental.
Terdahulu pasangan ini mengaku menjalani beberapa proses pembedahan menjadi transgender, namun masih menyimpan ‘sesuatu yang berharga’ untuk menjadikan mereka berbeza dari pasangan transgender lain.
Golongan transgender memang diiktiraf sebagai gender ketiga yang wujud di India sejak tahun 2014.
Walaupun tetap diselubungi stigma dan diskriminasi dari masyarakat, namun tidak kurang yang ‘meraikan’ mereka.
Malah, Menteri Kesihatan Kerala, Veena George dilaporkan bercakap dengan pasangan itu di telefon dan mengarah pihak hospital memberi perkhidmatan percuma kepada Zahad dalam proses kelahiran.
Pihak hospital juga diarahkan untuk memberi susu yang disimpan dalam bank hospital kepada bayi yang baru dilahirkan.
Be First to Comment