“Saya itu orangnya tidak romantis,” akui Ari Lesmana, si vokalis di selang perbualan santai kami setelah habis sesi promosi di Kuala Lumpur.
Luahan beberapa jam sebelum Fourtwenty muncul di Kuantan, venue pertama di Malaysia- dalam rangka jelajah mereka setelah Singapura minggu lalu yang dibawakan oleh Shiraz Projects.
Pengakuan itu dibuat sewaktu dia ditanyakan tentang lirik lagu High yang luahnya ini “I never buy you flowers but I give you all of my hours. Diulangnya 11 kali dalam lirik lagu itu.
Pada penulis, bait itu adalah paling jujur, romantik dan ikhlasnya seorang penyanyi sekaligus penulisnya.
Akui Ari lagi, dia gagal melengkapkan nyanyian lagu itu di Singapura kerana terbawa emosi. Dia malah mengakui isterinya tidak menyukai lagu itu.
Namun di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan dia membawa lagu berjudul High itu dengan baik dan melengkapinya.
Dia menyebut isterinya tidak ada di venue malam itu dan lagu tersebut punya nilai sentimental yang tersendiri buat dirinya.
Ok, lanjut ke chapter seterusnya. Menyebut tentang nilai sentimental. Inilah ‘barang’ yang memberi jambatan kepada peminat Fourtwnty dengan band berasal Indonesia tersebut.
Lirik lagu-lagu mereka itu bersifat nilai sentimental dalam cara tersendiri malah ada sifat empatinya.
Ok, ini merujuk kepada reviu persembahan dan lagu-lagu kumpulan yang didirikan pada tahun 2010 ini. Jangan diberi perbandingan terhadap persembahan atau reviu yang lain-lainnya.
Ini kali ke-empat Fourtwnty ke Malaysia dan kedatangan mereka masih diangkat meriah dengan sambutan hati dan tangan yang panas oleh para pecinta mereka.
Di satu sisi pemerhatian, kerana sifat ‘barang’ yang mereka ada itu. ‘Barang’ atau produk mereka yang berbentuk lirik dan melodi yang dekat dengan hati peminat ditambah dengan persembahan pentas oleh personel dan visual serta pencahayaan membalut dan menerkap tepat di hati pencinta mereka.
Anak-anak muda yang mesra dengan perkataan healing, anxiety, depresi, lonely, YOLO malah pergi deep lagi – ghosting atau gaslighting merasa dekat dengan pengisian lirik yang dibawakan oleh Fourtwnty.
Mereka diajak berkongsi rasa dengan cerita persahabatan parasit melalui Netamorphosa , begitu juga di Argumentasi Dimensi dan Diam-diam Ku bawa yang diambil dari album Lelaku. Enaknya dapat melaungkan bait ‘liburanku tolong jangan ganggu’ oleh sekalian penonton yang nyata mahu merasa dan menikmati maksud liburan yang sebenar.
Malah melalui Mangu, empati itu dirasai oleh sebahagian peminat yang mungkin bukan berbeza dari segi cinta lain agama namun diinterpretasikan kepada cinta berbeza haluan hidup atau filosofi cinta itu sendiri.
Bait ini kuat dan membawa pengertian yang besar untuk sebahagian peminat dalam cara tersendiri – “Berdamai dengan apa yg terjadi Kunci dari semua masalah ini.” Walau apa pun masalahnya kan?
Larasuka- bawaan juga dari album Nalar memberi kesan yang tersendiri buat penonton terutama yang berdepan dengan masalah diri- anxiety mungkin atau depresi atau apa sahaja yang berkaitan dengan jiwa dan mental.
“Tertawa luarku Menangis dalamnya Tak ada yang tahu Cuma aku”- Ramai yang merasainya, menyanyi dengan penuh perasaan- dari dalam dan hanya mereka yang mengerti atau menvisualkan momen-momen tersendiri dalam kepala dengan didukung dan diberikan rona merah di pentas. Entah semangat, atau marah atau bara. Hanya mereka dan interpretasi sendiri.
Tidak dapat dirungkaikan setiap pengertian empati terhadap semua 21 lagu yang dibawakan oleh Fourtwnty malam di Kuantan. Cukup hanya kita tahu bawa kita juga diingatkan oleh Fourtwnty yang kita pasti tua. “Tak menggoda layaknya saat muda ,Awas nanti tua ,Kita pasti tua.” Nah- ingat bahawa bait ini nanti akan punya saat empatinya di momen yang tepat.
Pokoknya, Fourtwnty itu disenangi bukan hanya kerana sifat merendah diri mereka dan dekat dengan peminat secara fizikal dan sifat. Kembali kepada karya, lagu-lagu mereka disayangi dan disenangi kerana rumus empati yang tersendiri serta dekat dengan anak-anak muda yang sedang belajar meniti, berjalan, berlari, jatuh, terduduk dan bangit dalam suatu yang namanya kehidupan.
Dan berbalik kepada Ari tadi, hal kedua romantik yang dilakukannya selain menulit bait ikhlas dalam lagu High adalah dengan mengingat orang yang dicintai sewaktu dia berada pada saat paling sibuk bekerja- saat di atas pentas. Hal itu tenyata punya sisi romantik yang tersendiri ya Ari!
Ok, jangan lupa saksikan Fourtwnty di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dalam siri selanjutanya…. LANJUT!
Be First to Comment