TAIWAN, mungkin bagi kebanyakan anda menjadi antara negara yang berada pada kedudukan bawah dalam senarai pilihan pelancongan ke luar negara.
Namun sebenarnya negara itu kini patut menjadi antara lokasi pilihan anda kerana bukan sahaja negaranya selamat, pengangkutan awam yang kondusif serta penduduknya yang sedia membantu biar adanya keterbatasan bahasa.
Lebih utama, dalam usaha menarik minat pelancong Muslim, Biro Pelancongan Taiwan giat memperomosikan Destinasi Sensasi Mesra Muslim buat rakyat Malaysia.
Menerusi kempen Salam Taiwan yang mula diperkenalkan pada 2017, bukan sahaja pelbagai destinasi dan aktiviti menarik diperkenalkan malah lebih penting makanan dan minuman halal yang menjadi keutamaan pelancong Muslim diuar-uarkan.
Bukan itu sahaja, penginapan dan tempat awam yang mesra Muslim dengan menyediakan kelengkapan seperti masjid dan surau serta arah kiblat di dalam bilik hotel turut menjadi antara agenda utama dihebahkan dalam usaha menarik minat pelancong Muslim di Malaysia.
Tidak hairan semakin banyak kita melihat perkongsian-perkongsian mengenai Taiwan yang mesra Muslim di sosial media dengan pelbagai tarikan dari selatan hingga ke utara negara tersebut.
Dengan setiap bandar memiliki keunikannya tersendiri, andai anda berhasrat untuk berkunjung ke Taiwan, Mac hingga Mei adalah
waktu terbaik ke sana kerana berada dalam musim bunga. Atau jika anda mahu menyaksikan pelbagai pesta seperti festival belon, bunga api atau kulinari, anda boleh mula menempah penerbangan dan penginapan untuk kunjungan pada Jun hingga Ogos.
Selain meneroka keindahan Taiwan, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan dalam jelajah anda misalnya memetik buah (mengikut musimnya), membuat coklat mahupun kek nanas yang menjadi sajian popular negara itu yang pastinya memberikan satu pengalaman menarik.
Malah sebaik anda menjejak kaki ke Taiwan, anda berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah menerusi kempen Lucky Land yang menyediakan baucer bernilai NTD5,000 atau RM700 yang boleh ditebus di premis yang mengambil bahagian.
Jadi apa tunggu lagi. Jom kita ke Taiwan.
Tarikan pelancong pilihan The MOW
1 – Taoyuan XPark
Taman Akuaria dengan kolam besar yang menghimpunkan pelbagai jenis ikan dan hidupan laut. Memang asyik melihat mereka berenang-renang menghampiri kaca seolah-olah menyapa pelawat yang terpukau dengan hidupan dasar laut.
Malah meninjau ke ruangan obor-obor, pelawat pasti terpukau dengan Healing Jellyfish Exhibit. Melihat sekeliling dengan pelbagai jenis obor-obor yang berenang penuh lemah gemalai, anda pasti terpesona dan terlupaka seketika perkara yang menyesakkan kepala.
Dibuka pada Ogos 2020, taman yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan ini merupakan kerjasama antara syarikat Jepun dan Taiwan.
Mempunyai 13 dewan pameran di bangunan tiga tingkat, selain akuarium, terdapat juga pentas untuk persembahan hidupan laut, kafe dan kedai jualan cenderamata.
2 – Miaoli Old Mountain Line Rail Bike / Longteng Broken Bridge
Kepada yang sukakan alam semulajadi, anda pasti tidak akan lepaskan peluang ke daerah Miaoli, antara destinasi percutian dan kembara di Taiwan.
Kira-kira 6.5 juta pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke daerah itu saban tahun untuk menikmati panorama indah antaranya menyelusuri rel keretapi yang berusia lebih 100 tahun dengan menaiki keretapi basikal yang unik.
Satu pengalaman baru menaiki keretapi basikal dalam dingin cuaca yang menyenangkan sambil menyaksikan panorama alam yang menghijau, anda juga pasti terpukau saat memasuki terowong keretapi yang dihias indah penuh warna-warni.
Tidak ketinggalan dalam pengembaraan di hutan Sanyi adalah tinggalan jambatan Longteng yang runtuh akibat gempa bumi pada 1935. Jambatan berbatu-bata merah itu satu-satunya rekabentuk di Taiwan menjadi tinggalan yang patut dilawati.
3 – Cijin Island
Jangan lupa untuk menyewa basikal sambil mengelilingi kawasan pantai selain memasuki terowong Cijin Star yang penuh mural dan lampu warna-warni sebelum dijamu dengan pemandangan laut di hujung terowong.
Alang-alang sudah sampai di sana, apa kata singgah di rumah api ikonik Cijin yang dibina pada abad ke-19. Perlu berjalan dan meniki bukit, anda paati terpesona dengan panorama pelabuhan Kaohsiung dengan secangkir kopi nanas yang menjadi signature kafe Shoreline Coffee & Roaster.
Ada juga yang mengambil peluang mengabadikan gambar perkahwinan di sini selain berpiknik dengan rakan-rakan.
Kepada yang sukakan seni, jangan lepaskan peluang berkunjung ke Pier-2 Art Center, sebuah gudang lama yang diberi nafas baharu bagi menghimpunkan hasil seni moden selain dereran kedai yang tentunya menyajikan daya tarikan tersendiri.
Kunjungi lokasi ini pada waktu petang dan anda akan menikmati pemandangan rembang senja yang mengasyikkan. – WI
Be First to Comment