Press "Enter" to skip to content

EKSPLORASI 6 HARI 5 MALAM DI TAIWAN

Eksplorasi 6H5M di Taiwan

CUACA dingin pada tengahari menyambut kehadiran kami, rombongan media Malaysia seramai tujuh orang di Taiwan. Lebih tepat lolasinya di Kaohsiung, bahagian selatan negara tersebut dalam siri lawatan Salam Taiwan yang dibawakan oleh Biro Pelancongan Taiwan.

Percutian enam hari lima malam itu meliputi perjalanan ke beberapa lokasi menarik bermula dari Kaohsing ke Taipei bagi mempromosikan negara itu sebagai Destinasi Sensasi Mesra Muslim buat pelancong muslim khususnya dari Malaysia.

Tidak hanya tertumpu kepada venue menarik untuk dikunjungi, Taiwan juga menyediakan pelbagai sajian halal buat pelancong beragama Islam selain kemudahan tempat beribadah seperti masjid mahupun surau.

Sepanjang enam hari berada di sana, jadual kami dipenuhi dengan perjalanan ke tempat menarik dari Kaohsiung hingga ke Taipei selain dihidangkan dengan sajian enak dari restoran halal.

– Hari Pertama

Sampai sahaja di Kaohsiung, rombongan dibawa untuk menjamu selera di sebuah restoran comel yang menghidangkan sajian berasaskan daging yang lazat sebelum dibawa melawat ke masjid Kaohsiung yang terletak berhampiran restoran tersebut. Bersetentang dengan masjid berkenaan terletak pangsapuri pelangi yang menjadi tumpuan pelancong.

Kemudian kami dibawa ke Kaohsiang Suzuka Circuit Park, sebuah taman tema dengan pelbagai permainan untuk sekeluarga selain litar go-kart dan pusat beli belah yang menawarkan pelbagai jenama antarabangsa. Anda juga berpeluang merasai sendiri pengalaman memandu go-kart di Mini Suzuka Curcuit.

Pada sebelah malam, jangan ketinggalan untuk ke pasar malam Liouhe yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Sepanjang pasar malam ini banyak menjual makanan, minuman dan pakaian serta pelbagai barangan lain.

– Hari Kedua

Beberapa program diatur bermula dengan pengalaman memetik buah tomato ceri (kerana ketika itu musimnya) di ladang sebelum menikmati pelbagai jenis teh (dan berpeluang menyediakan teh sendiri) selain menikmati buah-buahan segar yang disediakan.

Makan tengahari pula bukan saja menyajikan hidangan halal yang lazat di Sky Chinese Restaurant tetapi juga pemandangan indah bandar itu dari tingkat 40 bangunan ikonik itu.

Menikmati pemandangan Cijin Island sambil bersiar-siar menaiki basikal mengelilingi kawasan pantai, jangan lupa ke Cijin Star Tunnel kerana anda pasti terpesona dengan lampu-lampu dan mural yang berwarna-warni di sepanjang terowong sebelum dijamu dengan pemandangan laut.

Juga jangan lepaskan peluang (walaupun terpaksa memanjat bukit) untuk ke Rumah Api Kaohsiung yang terletak tidak jauh dari situ untuk menikmati panorama pelabuhan Kaohsiung dengan secangkir kopi nanas yang menjadi signature kafe Shoreline Coffee & Roaster.

Melewati senja yang mengasyikkan, kunjungan ke Pier-2 Art Center, sebuah gudang lama yang diberi nafas baharu bagi menghimpunkan hasil-hasil tentunya menyajikan daya tarikan tersendiri.

Makan malam itu adalah sajian barat dari sebuah hotel yang memperkenalkan perkidmatan mesra muslim bukan sahaja dari hidangan tetapi juga menawarkan beberapa bilik yang lengkap dengan arah kiblat dan sejadah.

Pada sebelah malam sempat juga kami ke Formosa Boulevard Metro untuk melihat Dome if Light, lukisan oleh pelukis Itali, Narcissus Quagliata yang dicanting di atas kaca-kaca menjadi awan larat yang indah penuh warna warni.

– Hari Ketiga

Perjalanan ke Tainan – Miaoli, venue singgahan pertama pagi itu adalah lawatan ke Chimei Museum yang mempamerkan pelbagai termasuk lukisan, fosil, peralatan perang dan alat muzik. Menariknya, di muzium ini pada setiap jam akan disajikan dengan persembahan klasik orkestra virtual.

Tidak lupa juga singgah ke Blueprint Cultural & Creative Park serta Shennon Street yang terletak di bandar Tainan.

Bergerak ke West Lake Resortopia di Miaoli dengan angin sejuk yang menyamankan, penuhi malam anda dengan persembahan pancaran lampu-lampu yang menarik selain pertunjukan di pentas yang disediakan.

– Hari Keempat

Sebelum bertolak ke Taichung untuk ke Taipei, singgah ke Miaoli Old Mountain Line Rail Bike / Longteng Broken Bridge untuk menikmati panorama indah menyelusuri rel keretapi yang berusia lebih 100 tahun denvan menaiki keretapi basikal yang unik.

Panorama alam yang menghijau, pukauan warna-warni terowong, anda juga dapat melihat jambatan Longteng yang runtuh akibat gempa bumi pada 1935.

Kepada mereka yang sukakan coklat dan mahu merasai sendiri pengalaman membuat coklat, Schokolake Country House bukan sahaja tempatnya malah di sini juga anda rambang mata dengan pelbagai produk koko yang mereka hasilkan selain turut menyediakan makanan halal buat pengunjung.

Bergerak ke Taipei yang terletak di bahagian utara Taiwan, Shilin Night Market menjadi lokasi ‘wajib pergi’ di kota metropolitan itu.

– Hari Kelima

Biarpun hujan sepanjang hari, rombongan tetap ke Taipei Zoo selain ke bangunan terkenal Taipei 101.

Pihak media juga merasai pengalaman membuat kek nanas Vigor Kobo Pineapple Cake Museum.

Jangan lupa berjalan-jalan menikmati malam di Ximending yang penuh sesak umpama di Shibuya, Jepun dan menyaksikan pelbagai ragam gaya anak muda di sana selain membeli belah dengan pelbagai cenderamata dan barangan lain.

– Hari Keenam

Terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami berkesempatan singgah ke Taoyuan Park, sebuah taman akuaria yang menghimpunkan pelbagai hidupan laut seperti ikan, penguin dan paling mengujakan apabila memasuki ruangan obor-obor yang pelbagai spesis yang berenang lemah gemalai dan mengasyikkan.

* SEPANJANG berada di Taiwan, roaming man menjadi peneman dengan menyediakan wi-fi yang efisen.* – WI

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!