EMPAT dekad dalam industri, Lelaki Ini mencanting kanvas seninya dengan penuh rasa dan keterujaan.
Pada setiap detik yang dimiliki, penyanyi yang menjadi kegilaan para wanita ini sentiasa cuba mendekati peminatnya dengan persona diri dan vokalnya.
Lalu pada kedinginan malam minggu lalu lantaran hujan yang mencurah, Shahrul Anuar Zain ‘memanaskan’ dewan Stadium Malawati Shah Alam, Selangor dengan gemersik vokalnya menerusi rantaian lagu-lagunya meraikan sambutan ulangtahun ke-40 dalam bidang seni.
Seperti selalu dan pada kebiasaannya, kemunculan Anuar pasti disambut dengan pekikan dan jeritan sang peminat yang memenuhi ruang dewan. Dan pada malam itu, jeritan lapan ribu peminat bergema menggegar suasana.
Ya, lapan ribu audiens. Full house. Bukti Lelaki Ini terus unggul dalam kelasnya yang tersendiri.
Dalam keterujaannya menyaksikan peminat yang terus-terusan mendokong kerja-kerja seninya, Anuar mezahirkan rasa terharu dengan sokongan mereka apatah lagi selepas kali terakhir hadir pada persembahan bersakala besar sedekad lalu.
Malah dia sempat berseloroh mengatakan kalaulah dia boleh turun dari pentas untuk mengabadikan rasa terima kasihnya kepada peminat namun malang sekali perkara itulah yang paling dilarang oleh pihak pengurusannya.
(Tentu sekali dilarang kerana bukan sahaja berkemungkinan besar dia turun bertemu peminat yang sudah pasti akan menyerbu dirinya.)
Bermula sebagai bintang kecil dengan lagu popular Kain Pelikat duetnya dengan Elina yang turut hadir pada malam itu, perjalanan seni empat dekad Anuar selalu manis.
Dia terus diterima audiens bukan sahaja kerana kerjaya seni tetapi juga kerana adabnya yang sentiasa senang menyantuni peminat yang menjadi nadi buat penghibur sepertinya.
Justeru tidak hairanlah sepanjang empat dekad melayari seni, sosok berusia 53 tahun ini terus diterima dan disayangi ramai.
Anuar dan nubelizer
Dalam keadaan kurang sihat, Anuar yang hadir penuh kilauan dalam persalinan rekaan Datuk Seri Bernard Chandran melunaskan tanggungjawab di pentas biar terpaksa beberapa kali menyedut nubelizer.
‘Drama kan…’ katanya bergurau namun itulah komitmen dirinya buat menghibur peminat setia yang sentiasa berada di belakangnya.
Muncul dengan 20 buah lagu, Anuar juga mendedikasikan sebuah segmen penghargaan buat penyanyi yang menjadi inspirasinya sebagai penghibur termasuk lagu Di Dalam Emosi Ini oleh Datuk Sheila Majid dengan diiringi petikan piano daripada pengarah muzik Sze Wan selain lagu-lagu Whitney Houston, Lionel Richie dan Datuk Sudirman.
Sheila yang turut hadir memberi sokongan kata Anuar merupakan antara figura yang membangkitkan semula semangatnya saat dia mula mempersoalkan relevan dirinya di pentas seni.
Selain Sheila, kakak kesayangannya, Ziana Zain turut hadir selain rakan-rakan artis seperti Misha Omar, Rozita Che Wan dan Nina Juren.
Berdendang selama hampir tiga jam di pentas dengan untaian lagu-lagu popular antaranya Bila Resah, Teman Terulung, Perpisahan, Ajari Aku, Sedetik Lebih dan Selamat Malam, Anuar menutup malam dengan lagu Keabadian Cinta dan Lelaki Ini.
Semoga Anuar terus berkongsi kembara seninya yang indah dengan lontaran lagu-lagu yang bukan sahaja menyatukan tetapi turut memberi kebahagiaan dan inspirasi buat para peminatnya. – WI
Be First to Comment