Saya mahu memulakan kisah di Taiwan dengan pengalaman ini. Pengalaman bagaimana saya dapat menggali erti di sebalik moto ‘Salam Muslim’ atau ‘Mesra Muslim’ yang sangat mahu disampaikan oleh pihak Taiwan Tourism Bureau.
Malam itu malam pertama kali tiba di jantung negara tersebut, Taipei. Cuaca panas namun angin sejuk menyapa tubuh memberi petanda hujan bakal turun pada bila-bila masa dan kami telah diberitahu mengenai perubahan cuaca yang memang tidak menentu kebelakangan ini.
Malam itu juga, saya memilih untuk menghabiskan masa mengelilingi Ximending Street bersama teman sebilik, Nadiatul, Head of Creative Malaysia Kini.
Ximending Street adalah kawasan yang sangat popular dengan aktiviti malam termasuk berjualan pelbagai barangan keperluan dan makanan, jadi ia menjadi salah satu lokasi yang mahu dipromosi Taiwan Tourism Bureau jika ke Taipei.
Kami hanya berjalan melihat jika ada barangan yang menarik hati dan akhirnya membawa pulang beberapa cenderahati.
Dalam perjalanan kami berbicara —- antaranya mengatakan mahu pulang pukul 12 malam ke Hotel Ceaser Park, penginapan yang disediakan pihak Taiwan Tourism Bureau kepada delegasi media yang dibawa mengenal negara tersebut pada 15 Jun sehingga 19 Jun 2023 lalu.
Ternyata ‘pulang pukul 12 malam’ itu benar-benar menjadi kenyataan. Nah di sini bagaimana saya melihat Taiwan sebagai negara Mesra Muslim daripada perspektif sendiri.
Ia terjadi secara tak sengaja apabila rancangan kami untuk berjalan kaki pulang ke hotel terletak sekitar 1.5 kilometer daripada lokasi tumpuan tersebut membuat kami sesat dan menyasar entah ke mana.
Membaca Google Map, namun ada masa kami kebingungan sendiri membuatkan perjalanan pulang tergendala beberapa kali. Ada masanya, kami ‘berpusing’, ‘berpatah balik’ dan melintas jalan dari kanan ke kiri dan kiri ke kanan hanya kerana bingung melihat arah di Google Map yang sebahagian ditulis dalam bahasa Taiwan.
Namun seperti mana pemandu pelancong kami yang sangat penyabar dan santun, Eric mengulang banyak kali bahawa Taiwan adalah sebuah negara yang selamat, ‘malam kesesatan’ itu menjadi kayu ukurnya.
Taiwan atau Taipei memang benar-benar selamat. Dengan dua wanita yang kesesatan mencari arah di dalam basah hujan yang tiba-tiba turun, tidak ada kebimbangan buat kami menelusuri jalan dan lorong-lorong gelap sepanjang mencari jalan ke hotel.
Bukan hanya ancaman daripada manusia malah haiwan liar atau sekurangnya anjing yang selalu membuat banyak orang ketakutan tidak muncul langsung ; malah lipas berkeliaran di jalanan pun tidak saya nampak.
Itu belum lagi saat kami berhenti bertanya arah daripada pemandu teksi yang menunggu penumpang.
Sebagai pemandu teksi yang sedang mencari sesuap nasi, boleh sahaja dia menipu atau membuat helah kepada kami kerana perbezaan bahasa dan tidak arifnya tentang bandar yang pertam kali dijejak itu mampu membuat kami terpedaya.
Dia boleh sahaja menawarkan untuk menghantar kami pulang, duduk dengan selesa di kerusi empuk teksi, tetapi seperti mana kami bertahan untuk tidak mahu menaiki teksi meski telah penuh ‘kesesatan’, begitu juga pemandu teksi tersebut.
Dengan keterbatasan dan susah payah dia membantu memberi petunjuk buat kami ‘kembali ke jalan yang benar’ meski setelah mencarinya, ia tetap gagal.
Tapi pelajaran yang kami dapat di sini adalah betapa Mesra Muslim si pemandu teksi tadi membantu tanpa rasis, sementelah kami juga berhijab.
Pencarian pulang ke hotel diteruskan sebelum kami meminta bantuan pula daripada seorang pemuda yang dalam hujan dengan bahasa terbatas, membantu kami. Dia membuka aplikasi di telefon bimbit membantu kami dengan antara yang kami faham hanyalah — lintas jalan, empat blok. Seterusnya, sila tawakal.
Ia sekali lagi membuktikan walau hujan dan disapa dua wanita tak dikenali dan jelasnya Muslim, pemuda tadi tetap membantu meski dia juga kelihatan mahu bergegas pulang.
Dan berbekal kepercayaan atas keikhlasan pemuda tadi, kami melintas jalan yang ironi pada aplikasi menunjukkan hotel hanya berada sekitar 800 meter daripada lokasi kami —- cuma hanya kerana kami tidak tahu harus bergerak ke kiri atau kanan maka semuanya ‘tersangkut’.
Setelah melintas jalan, mengira sudah melewati dua blok kami berhenti masuk ke sebuah premis yang masih beroperasi. Jam di tangan menunjukkan hampir ke pukul 11.40 malam.
Selain sempat ‘membeli-belah’, tentulah sekali lagi kami mencari arah pulang.
Dan sekali lagi dengan keterbatasan bahasa, seorang gadis bersama pakcik yang berada di kaunter tetap ikhlas dan gigih membantu kami mencari arah.
Cerita ‘kesesatan’ kami tamat dua jam selepas mencari jalan pulang yang hanya berjarak 1.5 kilometer selepas mengikut panduan dan arah daripada gadis dan pakcik di premis tadi yang juga menjadi ‘talian hayat’ ketiga buat kami malam itu.
Bersama pengalaman ini saya tidak memerlukan lebih banyak overclaim atau berlebihan untuk menggambarkan Taiwan dan kisah Mesra Muslim mereka.
Kerana menuliskan tentang ada kedai menjual makanan halal atau hotel yang menyediakan khidmat Mesra Muslim sudah terlalu klise.
Apabila Taiwan mula mempromosikan negara mereka sebagai destinasi pelancongan Mesra Muslim secara automatik pengunjung akan mudah menemukan makanan halal, hotel dengan penyediaan seperti sejadah dan arah kiblat serta lokasi-lokasi yang membuat anda berasa selamat.
Jadi, saya akhirnya menemukan Mesra Muslimnya Taiwan melalui sikap ikhlas tanpa rasis penduduknya, betapa tenang dan bersihnya negara ini (bersih adalah perkara baik yang dianjurkan dalam Islam).
Terima kasih buat tim Taiwan Tourism Bureau yang sudi membawa kami selama lima hari empat malam untuk menikmati damainya Taiwan dari kota ke desa sekaligus mendapatkan satu lagi pengalaman manis mengembara dan mengenali sisi indah dunia.
Dan ingin tahu apa tarikan lain yang tidak boleh dilepaskan jika ke Taiwan? Nantikan sambungan artikel ini, saya akan bawakan anda menjelajah tarikan dari Taipei sehingga ke kawasan pedesaan yang cukup memukau mata!
Be First to Comment