Press "Enter" to skip to content

MAGISNYA GENDANG PATI- Nuansa Rakyat, Rasa Premium

“Orang tua nyanyi lagu cinta,” ujar M.Nasir sewaktu di pertengahan lagu Suatu Masa yang dinyanyikan di hujung-hujung konsertnya.

Kemudian dia bersenandika tentang arwah ayahnya, membawa kita kepada mood sedih tetapi juga mengingatkan kasih seorang ayah kepada anak. Suatu masa kita akan beroleh momen itu, sedih dalam kenangan yang paling membuah senyum dan menyentuh.

M.Nasir melakarkan lagi sebuah kenangan manis buat para peminatnya melalui Gendang Pati.  Sebuah konsert dengan bunyi-bunyian bermasyarakat.

Manakan tidak, lagu-lagu antem serta side B nukilan M.Nasir kali ini diiringi dengan perkusi diketuai Pa’ang Zaman diikuti dengan harmoninya perkusi tradisional di tangan Mat Din serta Che Long, Anas dan Wan Abang (Singapura).

Seperti kata seorang rakan, M.Nasir itu bukan hanya bijak menulis lagu dan lirik yang melakarkan momen tetapi juga di jasad dan jiwanya, dia bijak mengendali emosi dan mood peminat melalui kata-kata dan caranya mengemudi lagu di atas pentas.

Menyanyi bersama M.Nasir lewat lagu-lagu ibarat menvisualkan kenangan dan momen.

Dia memulai konsert yang berdurasi 2 jam lebih ini dengan dua buah lagu Semakin Nyata dan Perang Yang Lagi Satu.

Kemudian dia membawa mood berpesta dengan lagu yang kebanyakkanya dipetik dari album Phoenix Bangkit dari Abu.

Ibarat sudah jadi bahagian wajib dalam beberapa rangkaian konsertnya yang terdahulu, sesi Magnum Opus adalah antara yang dinanti-nantikan.

Awan Nano, Nafas Cahaya, Mahligai Syahdu, Gadisku, Tiara dan Pawana dibawakan dalam gaya nusantara.  Kata Mishar Omar, saat dia mendengar sang sifu membawakan lagu ini di platform sosial media, terus masuk roh dan elemen nusantara terhadap lagu yang dinyanyikan itu.

Memperkenalkan barisan pejuang-pejuang serta tulang belakang hebat bunyian-bunyiannya dalam gayanya dan ucapannya yang tersendiri, kumpulan Gong adalah senjata hebat M.Nasir dalam bermuzik.

Diketuai oleh Nan Aznan selaku Pengarah Muzik dengan dikuti dengan askar-askar muzik hebat seperti Rafi Muhd (gitar rhythm), Norman (bass), Mohar (seruling) Firdaus Mahmud dan Eddie Slam pada keyboard dan semestinya Ujang Exists pada dram, kumpulan hebat ini dikahwinikan secara harmoni dengan barisan penyanyi latariaitu  Eja, Widy, Yuaz & Awe.

Dan kehadiran Awe selaku percussionist- rebab, pemain serunai dan berlanggam di lagu Langgam Pak Dogo menambahkan lagi kelazatan pada malam tersebut di Star Theater, Singapura.

Cara perkenalan M.Nasir terhadap anggota tulang belakangnya menunjukkan keakraban dan kemewahan mereka bukan sahaja bersahabat melalui muzik tetapi juga ikatan pertalian. Berseloka dan mengusik dan hujungnya dia meminta maaf jika tersalah kata dan laku seraya memaafkan juga.

Menariknya kerjasama mereka ini kerana walau berapa ribu kali lagu dimainkan di persembahan, setiap konsert akan dipersembahkan dengann elemen kesegaran dalam susunan muzik tanpa mencelakan organiknya lagu-lagu tersebut. Lagu lama namun segar.

Rata-rata pemuzik malam itu menamakan Kuzai yang merupakan jurutera bunyi selaku salah seorang hero malam konsert anjuran MUSE Plus tersebut. Dia memberikan keseimbangan bunyi yang hebat dengan dibantu oleh James Vimal selaku Jurutera Bunyi Monitor dengan dilengkapi dengan air tangan Imal nasir mengadunkan sistem pencahayaan malam tersebut. Syabas anak muda.

Pulang dengan senyuman, mungkin terintip kenangan silam pada satu-satu lagu atau menambahkan lagi momen bersama M.Nasir, malam berpesta gendang itu diakhiri dengan Mentera Semerah Padi dan Ada.

Di mata ribuan pemujanya, M.Nasir sentiasa menghasilkan dan menyampaikan karya-karyanya dengan konsistensi tenaga dan keelokan menyoroti rasa dan fenomena sosial.

Secara harfiahnya juga, dia penculik rasa yang membuatkan khalayak sentiasa ternanti-nanti konsert seterusnya.

Pada yang menonton lewat video-video rakaman yang seakan sudah jadi trend pesta merakam pada satu-satu konsert, ramai yang berharapan agar konsert ini akan dibawakan ke Kuala Lumpur.

Biar Malaysia pula berpesta dengan gendang, menari dengan lagu M.Nasir dan bersenandung rasa dengan lirik-lirik sifu serta bermasyarakat bunyi dengan namanya konsert. Biar ada lagi yang disusun menjadi kenangan.

Kerana pada sifatnya ‘Dah Lagu Tu’, seorang M.Nasir. Seorang insan yang pasti meninggalkan kesan pada apa sahaja sentuhannya.

 

Kredit photo: – Roman Abadi Sdn Bhd

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!