SELENA GOMEZ menjawab kritikan yang diterima daripada pengguna media sosial mengenai berat badannya melalui sepotong video yang dilakukan secara langsung dari platform TikTok Live.
Penyanyi dan pelakon berusia 32 tahun itu mendedahkan berat badannya naik gara-gara mengambil ubat berkaitan penyakit Lupus yang dihidapinya sejak tahun 2015.
“Apabila saya mengambil ubat, berat badan saya naik dan itu perkara yang normal. Apabila saya berhenti memakan ubat, saya seperti kehilangan berat badan.
“Jadi saya mahu anda di luar sana tahu dan malu jika tidak mengetahui perkara sebenar tentang sesuatu, tetapi masih mahu bercakap mengenainya,” ujar mantan kekasih Justin Bieber itu seperti dilaporkan usmagazine.
Gomez juga mengatakan dia perlu menjelaskan tentang penampilannya kini untuk memberitahu peminat atau orang di luar agar tetap menghargai bentuk tubuh masing-masing.
“Ketahuilah yang anda semua tetap cantik dan hebat. Ya, kita mungkin menghadapi hari yang teruk, tetapi saya lebih rela mengambil ubat untuk kesihatan dan menjaga diri sendiri.
“Ubat-ubatan saya sangat penting. Saya percaya ia sangat membantu saya,” katanya yang juga menghidap Bipolar.
Malah sebelum mengakhiri video tersebut, Gomez berkata: “Saya bukan model dan tidak pernah akan menjadi model.
“Saya rasa model sangat hebat, tapi untuk saya sememangnya tidak akan menjadi model.”
Terdahulu penampilan Gomez di acara Golden Globes menjadi buah mulut kerana dilihat berisi daripada sebelumnya.
Kredit Foto: Getty Images
Be First to Comment