Press "Enter" to skip to content

Anugerah Juara Lagu 37; Antara Kualiti & Kelangsungan Muzik Masa Kini

Anugerah Juara Lagu memasuki penganjuran kali yang ke-37. Ia juga dikenal dengan panggilan pendek AJL 37. Tahun ini AJL 37 membawa tema Dimensi Muzik, akan berlangsung di Axiata Arena pada 12 Februari 2023.

Seperti format yang diperkenalkan dalam penganjuran sebelumnya, pemenang anugerah berprestij yang memberi pengiktirafan kepada karyawan seni muzik tempatan ini diputuskan oleh barisan juri.

Kelayakan pemenang dipertimbangkan menerusi beberapa nilai termasuk kualiti — yang menjadi kunci utama dalam pemilihan juara AJL.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1986 oleh saluran televisyen TV3, khalayak sudah menyaksikan pemenang dalam hampir semua genre muzik ; daripada rock, balada, hip-hop, pop, irama Malaysia mahupun etnik kreatif. Semua sudah pernah membawa pulang penghargaan sekurang-kurang dalam kategori masing-masing.

Tahun berganti, muzik berevolusi. Apa yang dicari dalam AJL umpama kualiti dari segi betapa kreatif seorang komposer membikin lagu sehingga penulis lirik bermain dengan bait kata hingga mampu meninggalkan impak kepada kita termasuk aura sang penyanyinya, semua juga sudah dibuktikan.

Meski sesekali keputusannya membuat banyak kejutan dan pertikaian, namun AJL tetap bertahan.

Pendapat masyarakat atau netizen tidak setaraf dengan penilaian bijak pandai yang duduk di kerusi juri jemputan.

Untuk penganjuran AJL 37 ini, ia masih mencalonkan 12 buah karya daripada pelbagai genre yang menerima sentuhan emas para penulis lirik dan komposer.

Antara karya yang tercalon seperti Korban dihasilkan penuh oleh penyanyinya, Ernie Zakri. Aina Abdul juga berperanan sebagai komposer, penulis lirik sekaligus penyanyi Terus Hidup.

Akan bersaing dengan dua pelaku seni wanita ini adalah pasangan duo Joe Flizzow dan Sonaone yang menulis karya Satu Malam Di Temasek bersama-sama. Kemudian ada pendatang baharu, Noki dan MK yang mempertaruhkan karya mereka menerusi Payung Pelangi.

Tidak ketinggalan ada penyanyi senior yang juga sudah beberapa kali membawa pulang anugerah AJL, Dayang Nurfaizah berduet dengan Amir Masdi mempertaruhkan Debu, begitu juga Naim Daniel (Mainan) dan Marsha menerusi Kembali Terang.

Beberapa pencalonan lain seperti Anugerah Terindah dan Bahagiakan Dia pula masih menyaksikan sang pelantun memberi kepercayaan penuh kepada komposer dan penulis lirik untuk mewarnakan kanvas lagu, sekaligus memenuhi kriteria untuk AJL.

Namun setelah berpuluh tahun AJL dianjurkan, kita juga menyaksikan bagaimana banyak karya mengikut evolusi muzik ; antaranya mengguna pakai bahasa rojak dalam lirik, permainan muzik yang tidak kompleks, karya sekadar hiburan tanpa mesej termasuk ada yang sejujurnya tidak difahami bagaimana bisa dibilang karya (tapi seni itukan subjektif), semuanya ada.

Semua pernah diangkat jadi pemenang kategori sekurang-kurangnya atau dijulang sebagai juara.

Memasuki AJL 37, melihat senarai 12 calon juara, apakah yang industri hiburan boleh harapkan dari hasil pemarkahan para juri. Adakah tema Dimensi Muzik akan terbukti — dimensi dalam bahasa mudahnya, ukuran. Jadi apakah calon-calon pemenang mempunyai ukuran muzik seperti yang dimahukan.

Adakah meletakkan kualiti pada hierarki paling tinggi, atau karya itu popular dan diminati seluruh peminat muzik negara kerana sering diputar radio atau pelantunnya adalah penyanyi pujaan negara, juga berdasarkan favouritisme, mana satu yang menjadi integriti juri?

Menurut penerbit AJL 37, Shahrizan B Razalli, para pemenang kategori atau calon juara yang dicari pada edisi ini ditentukan oleh kualiti lagu itu sendiri.

“Pertama, lagu itu sendiri dan kedua adalah kombinasi antara komposer, penulis lirik serta penyanyi itu sendiri penting untuk dinilai.

“Di pentas AJL, tugas penyanyi penting kerana mereka akan menyampaikan karya kepada semua. Dan jika lagu bagus, tetapi lirik tidak disampaikan dengan baik, impak yang dikeluarkan tidak berada pada tahap maksimum.

”Sebab itu kombinasi komposer, penulis lirik dan penyanyi sangat penting untuk penilaian malam ini,” ujar Shah secara eksklusif ketika dihubungi TheMOW.my.

Shahrizan juga menegaskan setiap kategori seperti Persembahan Terbaik, selain dipengaruhi sedikit undian masyarakat, ia dinilai oleh individu berpengalaman. Begitu juga dengan beberapa kategori lain termasuk Vokal Terbaik.

“Tahun ini ada kelainan sedikit. Untuk kategori Persembahan Terbaik, kita ada Khir Rahman yang memang arif tentang seni persembahan membuat penjurian. Untuk Vokal Terbaik pula kita ada barisan juri berpengalaman seperti Noryzn Aziz.

“Pendek kata semua juri jemputan akan menilai dalam kapasiti dan kepakaran masing-masing demi menentukan juara yang paling layak,” jelasnya.

Meski keputusannya kelak mungkin tidak menepati cita rasa, pada akhirnya seperti yang dikatakan tadi, seni adalah sebuah hal yang subjektif. Mungkin bagi kita mengarut, tapi dari segi ‘ibadat’ muzik, ia sempurna.

Dan pada akhirnya, apa juga genre muzik yang dimainkan dunia, ia mempunyai kuasa luar biasa untuk menyatukan kita semua meski dengan hanya satu kata: “Nang.”

Nang? Siapa Nang? Apa itu Nang? Misteri Nang ; hanya sebuah lagu untuk hiburan kita semua.

12 KARYA YANG BERTANDING

Anugerah Terindah
Penyanyi: Alif Satar 
Lirik: Alif Satar, Shah Shamshiri dan Romeo
Komposer: Alif Satar, Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwis

Debu
Penyanyi: Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi
Lirik: Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim
Komposer: Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim

Korban
Penyanyi: Ernie Zakri
Lirik: Ernie Zakri
Komposer: Ernie Zakri

Bahagiakan Dia
Penyanyi: Liza Hanim dan Shila Amzah
Lirik: Aliff Iskandar dan Que Afiq
Komposer: Aliff Iskandar

Satu Malam di Temasek
Penyanyi: Joe Flizzow dan Sonaone
Lirik: Joe Flizzow dan Sonaone
Komposer: Sonaone

Kembali Terang
Penyanyi: Marsha Milan
Lirik: Senna
Komposer: Senna dan Ajin

Terus Hidup
Penyanyi: Aina Abdul
Lirik: Aina Abdul
Komposer: Aina Abdul

Nang
Penyanyi: Iman Troye
Lirik: Ezra Kong dan A.Ramle
Komposer: Ezra Kong dan A. Ramle

Payung Pelangi
Penyanyi: Noki dan MK
Lirik: Noki dan MK
Komposer: Noki dan MK

Sengsara
Penyanyi: Khai Bahar
Lirik: John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Omar K
Komposer: John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Omar K

Irama
Penyanyi: Shiha Zikir
Lirik: Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves
Komposer: Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves

Mainan
Penyanyi: Naim Daniel
Lirik: Arisz Ab Rahman
Komposer: Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!