Press "Enter" to skip to content

Irama Nasyid Pernah Dieksport Sebelum K Pop, ZAWFAN & Nazrey Johani Lahirkan Bismillahir Rahmanir Rahim

Percaya dan mempunyai matlamat untuk menghidupkan kembali irama nasyid yang dirindui, kumpulan ZAWFAN hadir dengan single kedua mereka yang melibatkan kolaborasi bersama figura terkenal nasyid, Nazrey Johari.

Memperkenalkan Bismillahir Rahmanir Rahim, single tersebut dihasilkan dengan

menggunakan 100% pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan. Ia kemudian dilengkapkan dengan nyanyian vokal berharmoni.

Membesar dengan lagu-lagu nasyid daripada Raihan, Nadamurni dan TheZikr, bagi mereka nasyid klasik yang disampaikan sekitar tahun tahun 80-an dan 90-an sangat sederhana, namun ia berjaya dihayati masyarakat.

“Tidak sarat, hanya berbekalkan lirik yang jelas dan melodi yang ringkas, nyanyian yang sederhana dengan vokal berharmoni serta iringan kompang dan pergendangan sahaja, namun ia mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan penyampaian yang sangat mengesankan masyarakat,”ujar Hafiz Tarmizi dari ZAWFAN.

 Tambah seorang anggota ZAWFAN yang lain, Fadzli Radzi, gabungan gubahan dan susunan beserta alunan vokal berharmoni di dalam lagu ini pasti mengimbau nostalgia pendengar kepada nasyid di era 90an.

Melodi santai, ringkas dan lirik yang jelas serta rangkap chorus yang berulang sememangnya menjadi resepi yang menjadikan lagu ini mudah untuk dinyanyikan setiap lapisan umur masyarakat.

 “Dari sudut pandang muzik, didapati lagu ini mengambil dari pelbagai unsur dan pengaruh antaranya Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin. Ini bukan sesuatu yang asing dalam nasyid asalnya kerana ciri-ciri muzik Islam yang sejagat sifatnya seharusnya mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan baik dari Timur mahupun Barat,” katanya.

 “Malah gabungan penyanyi utama kumpulan ZAWFAN, Yasir Tamizi dan bekas penyanyi utama kumpulan Raihan, Nazrey Johari adalah satu kolaborasi suara yang padu dan sangat baik.

“Vokal kedua-duanya saling melengkapi, dengan penyampaian yang sederhana berjaya menggamit pendengar pada irama yang asal seperti di awal kemunculan Raihan dahulu,”ujar Yasir Tarmizi penuh yakin.

 Lantas apabila dijemput oleh ZAWFAN untuk menjayakan Bismillahir Rahmanir Rahim, Nazrey Johani berasa amat berbesar hati.

“Sememangnya inilah irama nasyid yang dirindui. Inilah nasyid yang asal, yang pernah berjaya mengangkat hasil karya tempatan ke mata dunia serta mendapat pengiktirafan paling tinggi dalam industri muzik,” ujarnya.

ZAWFAN pula bersetuju dan berpandangan, sebelum munculnya budaya K-POP dari Korea hakikatnya, Malaysia sudah pun terlebih dahulu mengeksport budaya kita keluar dengan nasyid yang dibawakan Raihan.

Ujar Nzarey lagi: “Itulah nasyid pada takrifan yang paling asas, persembahan paling murni dan tulen. Kerinduan pada nasyid yang dibawa bersama Raihan itu terubat dengan penampilan saya di dalam lagu Bismillahir Rahmanir Rahim bersama dengan ZAWFAN.”

Paduan vokal berharmoni ZAWFAN menggamit kenangan semasa beliau bersama Raihan dahulu. Walaupun sudah tidak lagi bersama Raihan, menurutnya ZAWFAN sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan itu.

Bismillahir Rahmanir Rahim diterbitkan oleh ZAWFAN sendiri dan akan diedarkan secara digital oleh Soofi Media. Ia boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music dan boleh didengari di IKIM.fm, ZAYAN dan radio-radio tempatan yang lain seluruh negara.

ZAWFAN dan Nazrey Johani berharap agar irama nasyid terus mendapat tempat dihati mereka yang benar-benar menginginkan hiburan yang mendidik jiwa.

“Mudah-mudahan usaha kami ini sedikit sebanyak dapat mengangkat dan menjulang semula irama nasyid yang kini semakin jauh ditinggalkan masyarakat di arus perdana,” ujar mereka.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!