Masalah penyakit gangguan mental bukan lagi satu hal tabu dalam kalangan masyarakat. Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan lebih 1 bilion penduduk dunia berhadapan dengan pelbagai masalah gangguan mental pada tahun lalu.
Salah satu penyakit mental yang sangat kerap dan banyak dihidapi adalah Anxiety atau masalah kecemasan yang berlebihan. Ia diikuti dengan masalah kemurungan atau depresi.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini mendedahkan Wilayah Persekutuan merupakan daerah paling ramai penduduknya mengalami masalah kemurungan (anxiety) dengan 336,900 orang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan keputusan saringan.
Itu adalah fakta mengenai kadar penyakit mental dalam kalangan pesakit yang menderita, tetapi jarang ingin berkongsi mengenai kenyataan ini.
Mengambil langkah berani dan mahu memberi kesedaran tentang penyakit mental, mantan jurnalis hiburan, Maliah Surip membogelkan kisah penderitaan dan perjalanan selepas didiagnos menghidap General Anxiety Disorder (GAD) dan major depressive disorder (MDD) atau kemurungan teruk sejak tahun 2019.
Menerusi buku perdana tulisannya, Senandika: Bercakap Seorang Diri, penulis antara lain menceritakan pengalaman diri yang tidak pernah sedar telah diserang penyakit mental, melakukan diagnos sehingga perlu mendapatkan rawatan berkala dan memakan ubat pada setiap hari, sehingga hari ini.
“Selain bercerita tentang pengalaman, objektif utama kelahiran buku ini adalah untuk meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan pesakit, tetapi orang terdekat dan masyarakat yang seharusnya memainkan peranan masing-masing tanpa menghakimi atau menilai sekaligus sama-sama membantu penderitanya pulih,” ujar penulis, Maliah Surip.
Maliah juga menegaskan, buku yang dijual dengan harga RM28.00 di pasaran ini bukan mengajak pesakit mental ‘memperakui’ diri mereka sakit lalu menjadi ‘lemah’, tetapi bangkit dan bersemangat untuk terus berjuang dan mencari kehidupan yang baik.
“Senandika: Bercakap Seorang Diri ini juga saya jadikan semangat jika setiap kali berasa ‘pulang’ ke titik terendah, kena ingatkan diri bahawa ada pencapaian yang telah dilakukan sepanjang bergelut dengan penyakit ini,” katanya lagi.
Selain itu Senandika: Bercakap Seorang Diri tidak ditulis dalam penyampaian yang ‘menyayat hati’, sebaliknya banyak disulami dengan gaya penulisan ‘nakal’, lucu dan membina keyakinan bahawa penyakit ini boleh pulih.
“Selain bercerita tentang perjalanan penyakit ini, saya juga menyelitkan pengalaman berdepan dengan banyak pesakit mental lain yang lebih sengsara.
“Buku ini penting kerana akan memberi kesedaran buat masyarakat untuk sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling,” tambah perempuan berusia 42 tahun ini lagi.
Menurutnya juga, buku ini diilhamkan selepas melihat ada dalam kalangan pesakit yang tidak mahu memperakui diri sedang sakit, tidak mendapatkan rawatan sekaligus memudaratkan diri masing-masing.
Sementara itu bagi pelaku seni Misha Omar yang merasmikan pelancaran Senandika: Bercakap Seorang Diri, penghasilan buku bersifat kesedaran tentang kesihatan mental ini dilihat sebagai langkah yang baik sewaktu banyak orang berdepan dengan masalah yang sama tetapi malu untuk menyuarakannya.
Penyanyi lagu Sampai Bila itu juga berpendapat sudah tiba masanya pesakit mental membuang rasa takut dikecam hanya semata-mata kerana penyakit ini disifatkan dengan bahasa mudah, ‘gila’.
“Sudah tiba masa pesakit mental tidak lagi takut dan menambah kemurungan tentang bagaimana masyarakat memandang atau menghakimi mereka kerana menghidap Anxiety atau MDD sebab penyakit ini sama seperti penyakit lain termasuk kanser atau kencing manis yang perlukan rawatan.
“Tinggal lagi ia tidak nampak pada pandangan, namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh ‘mengeluarkannya’. Keluar dan bersuara jika itu boleh menjadi saluran yang membantu perkembangan untuk mereka pulih. Jangan takut untuk sayangi diri dan menjadi sihat seperti sedia kala.
“Dan masyarakat juga memainkan peranan penting untuk tidak menghakimi mereka, sebaliknya terus berikan sokongan,” kata Misha.
Buku Senandika: Bercakap Seorang Diri sudah boleh dibeli secara atas talian di Shopee atau melalui web dan di kedai-kedai yang menjadi pengedar sah naskhah ini.
INFORMASI
Naskhah: SENANDIKA: BERCAKAP SEORANG DIRI
Penulis; MALIAH SURIP
Harga: RM28.00
Cara pembelian: Pautan di Facebook & Instagram Maliah Surip
Kedai: Dapur Jendela, Setia Tropika, Johor Bahru (Instagram: @dapurjendela)
Amatiran Store, Jalan Dhobby, Johor Bahru (Instagram: @amatiran.store)
CORM, Jasin, Melaka (Instagram: @cormisme)
Be First to Comment