Press "Enter" to skip to content

Sheila Majid The Big Band Live in Kuala Lumpur 2023 – Nuansa Segar Si Ratu Jazz

1988 dia hadir di lokasi itu. Dan 2023 di venue yang sama, para peminat tetap memenuhi ruang yang katanya, ‘mesti yang datang ini umur 45 tahun ke atas’ dan disambut gelak tawa seisi Dewan Merdeka.

Ya, malam minggu lalu Konsert Sheila Majid The Big Band – Live in Kuala Lumpur 2023 merungkai kerinduan peminat setianya yang tidak pernah jemu-jemu menikmati irama lagu yang dipersembahkan.

Malah si genit itu sendiri dalam canda bertanya peminat adakah mereka tidak pernah jemu menonton persembahannya.

Sudah pastilah jawapannya tidak kerana konsert sold-out show itu sendiri membuktikan kehadiran Datuk Sheila Majid di pentas tetap ditunggu-tunggu peminat.

Namun akui Sheila, adakalanya dia sendiri ketandusan ilham untuk hadir dengan idea baharu kerana kebanyakannya sudah pernah dibuat sepanjang hampir empat dekad bergelar anak seni.

Bagaimanapun kehadirannya kali ini bersama 23 pemuzik – 13 daripadanya adalah pemain horns selain 7 pemuzik band dengan tiga penyanyi latar yang dipimpin Pengarah Muzik Mac Chew tetap menyajikan nuansa segar dalam komposisi lagu-lagunya.

Biarpun kata Sheila, tidak semua lagu terutama yang mungkin dtunggu-tunggu peminat dapat dipersembahkan pada malam itu kerana mengikut konsep dan tema The Big Band yang lebih jazzy dan klasik.

Hadir minimal namun elegen dalam dua persalinan pereka Micheal Ong yang sudah bersamanya sejak sekian lama, Sheila mempersembahkan 20 lagu pilihan.

Memulakan persembahan dengan lagu Ada-Ada Saja diikuti Embun, susunan lagu Pengemis Muda bersama-sama The Big Band terasa segar. Begitu juga beberapa lagu lain antaranya Hasrat Cinta.

Pada konsert perdanaya selepas pandemik yang dihadiri rakan artis antaranya Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Ziana Zain dan Misha Omar itu, Sheila turut menyanyikan lagu Wiraku Hatiku, lagu runut bunyi filem Juang yang turut diangkat sebagai Lagu Tema Terbaik Festival Filem Malaysia ke-32.

Sheila turut membuai rasa dengan medley Gerimis Semalam, Kepergianmu dan Di Suatu Persimpangan sebagai satu tribute buat ibunda tersayang, Datuk Paduka Saadiah Adam yang meinggal dunia pada Julai 2020.

Dan sudah semestinya dendangan lagu-lagu malar segar daripada pujaan hatinya, Tan Sri P Ramlee menjadi antara lagu yang terus menjadi keutamaannya dalam menghiburkan peminat.

“Lagu-lagu ini adalah warisan negara yang perlu dipelihara dan dikenang,” katanya yang turut menyanyikan sebuah lagu ciptaan Jimmy Boyle berjudul Jauh-Jauh sebagai sebuah penghargaan sebagai mengenang jasa pencipta lagu tersebut.

“Kalau mahu belajar (muzik) klasik dan sukakan muzik, anda harus belajar daripada gergasi muzik Malaysia ini,” ujarnya lagi.

Fit & Disiplin

Pada usia 58 tahun ramai kagum dengan energi Sheila terutama ketika menghiburkan tiga ribu peminat pada konsert tersebut.

Akuinya, disiplin dan kerja keras merupakan kunci kerana “ini periuk nasi saya. Saya kena jaga. Saya kena fit,” katanya yang mengamalkan pilates untuk kecerdasan diri di samping berlari.

Bersara?
Masih belum ada dalam kamus kerjaya Shahiela Abdul Majid biar pernah terlintas di fikiran tentang persaraan saat usia menginjak 50 tahun. Sementelah dua tahun lagi dia akan merai ulangtahun ke-40 dalam muzik.

“Saya berdoa kepada Tuhan andai bidang ini bukan lagi untuk saya maka bukalah rezeki dan peluang lain.

“Namun nampaknya karier ini masih menawarkan banyak peluang dan ruang kepada saya. Dan saya memang cintakan muzik,” katanya usai pertemuan di belakang pentas bersama pihak media.

Senarai Lagu yang Dipersembahkan
1. OPENING (INSTRUMENTAL)
2. ADA-ADA SAJA
3. EMBUN
4. PENGEMIS MUDA
5. JELINGAN MANJA
6. EMOSI
7. RAHSIA HATI
8. SLOW MEDLEY: GERIMIS SEMALAM / KEPERGIANMU / DISUATU PERSIMPANGAN
9. HASRAT CINTA
10. WIRA HATIKU
11. SPARKLE (MUSICIANS’ INTRO)
• PLAYBACK VIDEO : JIMMY BOYLE
12. TRIBUTE : JAUH-JAUH
13. P.RAMLEE MEDLEY: ADUH SAYANG / GETARAN JIWA / BUNYI GITAR / TIRU MACAM SAYA / MANUSIA
14. LAGENDA
15. KU MOHON
16. DIA
17. CINTA JANGAN JAU PERGI & ANTARA ANYIR & JAKARTA MEDLEY
18. AKU CINTA PADA MU
19. WARNA
ENCORE
20. SINARAN

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!