Press "Enter" to skip to content

Dain Said Tentang Filem Horror Perdananya, Harum Malam: “Jika Bau Wangi, Ada Hantu Dekat Kita”

Filem horror yang merupakan buah tangan perdana sutradara tersohor, Dain Said, Harum Malam sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Harum Malam yang dibintangi barisan pelakon berprofil tinggi seperti Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein sudah ditayangkan sejak 9 Februari 2023 lalu.

Menurut Dain Said, Harum Malam adalah sebuah horror yang menjadi medium beliau menyalurkan ‘rahsia’ yang sentiasa ada dalam keluarga dan perhubungan antara manusia.

Berikut temu bual Dain Said yang disediakan buat media massa.

1. Mengapa anda meneroka genre seram kali ini? Adakah anda peminat filem seram?

Saya memang suka filem horror. Bukanlah saya suka seram atas semua genre lain, tetapi saya rasa ia mempunyai kelebihan berbanding yang lain. Pada saya, cerita seram mesti berasaskan dunia yang berbeza atau tempat yang berbeza yang menambah nilai dan menambah nuansa atau warna yang berbeza kepada sesebuah genre itu.

Saya rasa horror membuka lebih banyak kemungkinan penceritaan kerana ia boleh menanggani pelbagai aspek masyarakat, budaya, fantasi, mitologi, cerita rakyat; sebut sahaja perkara-perkara yang wujud dalam komuniti, keluarga dan masyarakat.

2. Apakah yang anda ingin terokai dalam Harum Malam?

Saya ingin melihat hubungan …. untuk melihat rahsia yang sentiasa ada dalam keluarga dan perhubungan antara manusia. Harum Malam pada terasnya, adalah mengenai keluarga tetapi sudah tentu, ia masih filem seram. Ada makhluk, dan ada orang mati, dan ada hantu yang kembali untuk membalas dendam. Hantu, saya rasa, adalah kunci untuk menyimpan rahsia cerita yang berpusat pada keluarga, pada masyarakat.

3. Apakah beberapa filem seram kegemaran anda?

Saya masih kanak-kanak lagi apabila saya menonton filem Psycho; ia sangat menakutkan dan ia melekat dalam fikiran. Dan sudah tentu, The Exorcist – ia masih merupakan tanda aras buat saya sehingga hari ini. Pada saya, The Exorcism of Emily Rose, menetapkan penanda aras untuk filem seram pada tahun 2000-an.

Selain itu, The Ring, memaparkan teknologi di tengah-tengah kehidupan kita dan kengeriannya, yang sebenarnya merupakan idea yang fresh pada masa itu. Selebihnya, apabila mereka hanya penuh dengan ketakutan “jump scares”, ia menjadi semacam berulang. Saya faham bahawa ia adalah sebahagian daripada bahasa genre seram tetapi jika anda melihat beberapa filem yang saya nyatakan ini, mereka cuba melakukan sesuatu yang berbeza.

 

4. Bila mula penggambaran, dan di mana lokasi? Berapa hari penggambaran?

Penggambaran sepatutnya bulan 10, tahun 2020. Tapi disebabkan Covid 19, tarikh penggambaran kita ditunda beberapa kali. Akhirnya, kita mula pada pertengahan bulan 11, dan berakhir pada 25 Disember, hujung 2020. 31 hari penggambaran.

5. Tentang tajuk Harum Malam, kenapa pilih tajuk berkenaan?

Memang di dalam budaya orang Melayu kita, semua tahu atau pernah dengar, kepercayaan yang jika kita bau sesuatu yang wangi atau manis pada waktu malam, itu maknanya ada hantu dekat dengan kita, atau selisih dengan makhluk atau hantu.

6. Bagaimana dengan pemilihan pelakon?

Saya bernasib baik kerana selalu dapat bekerja dengan pelakon yang, pada pendapat saya, pelakon yang hebat. Jadi itu sebab saya sangat berterima kasih dapat bekerja dengan Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud, Faizal Hussein. Kerana cerita ini melibatkan budak-budak juga, saya buat casting dan memberikan mereka latihan, dan rupa-rupanya pelakon muda ini – Idan Aedan, Arnie Shasha, Danish Hakeem, Airil Aizimi, Eriza Allya serta Angelica Petra – mereka memang sangat bagus. Dalam filem ini, ada 2-3 pelakon muda yang saya boleh katakan – “the future stars”.

7. Bagaimana rasanya bekerja dengan pelakon muda?

Ia adalah satu cabaran, tetapi ia sangat mengagumkan juga kerana kejutan itu bukan hanya Idan Aedan (sebagai watak Iqbal), tetapi juga Arnie Shasha (yang membawa watak Ah Boy) di mana Harum Malam adalah lakonan pertama artis muda berbakat ini.

Sudah tentu kami memberikan mereka latihan, tetapi kami juga mendapat guru lakonan untuk bekerja dengan mereka, kemudian ia menjadi sangat mudah. Saya terkejut. Shasha sangat baik. Begitu juga Angelica Petra, Eriza Allya, Danish Hakeem & Airil Azimi. Lakonan mereka cukup semula jadi dan jadi. Mereka mendapat karakter mereka dengan cepat. Dan mereka menjadikan kerja saya lebih ringan.

8. Mengapakah filem ini berlatarkan suasana bandar, berbanding di luar bandar?

Pada saya, set seram di kampung sudah biasa. Saya ingin melihat cara jiwa kita berfungsi, bagaimana kita boleh hidup di persekitaran moden, tetapi sebahagian daripada diri kita masih berpaut kembali ke hutan dan jenis-jenis hantu yang kita sudah biasa dan kenal dari cerita lama kita. Kerana kami duduk di bandar sekarang, tidak bermakna perkara ini sudah hilang. Saya tertarik dengan unsur-unsur yang berbeza di dunia yang kita diami, khususnya di Malaysia.

9. Apakah proses penciptaan Hantu Raya? Adakah hasil akhir kelihatan seperti konsep pertama?

Saya boleh kata yang wajah Hantu Raya yang dihasilkan sehampir mungkin dengan apa yang saya mula-mula bayangkan. Semasa pra-produksi awal pada pertengahan 2020, saya berbincang dengan banyak bahan rujukan dan idea-idea. Kemudian, Pereka Produksi, Tam Khalid dan pasukannya kembali dengan beberapa reka bentuk, yang mana kami memilih reka bentuk yang kita ada ini. Pasukan art department Tam Khalid, dengan Penata Busana, Jessie Yeow, kemudian bekerjasama dengan pasukan Ella Sandera (Penyelia Tatarias SFX).

Kemudian, saya dan penerbit Nandita meminta Din Sabah (penari dan koreografer Rithaudin Abdul Kadir) memainkan watak Hantu Raya. Kami pernah bekerja dengan Din sebelum ini. Dia memang sebagai jurulatih pergerakan (movement coach) untuk pelakon-pelakon kami dalam Harum Malam. Proses pembikinan raksasa Hantu Raya ini akhirnya siap dengan sentuhan VFX – penyelia VFX Emir Ezwan, bersama-sama dengan pasukan di Studio Voxel. Dan kami sangat puas dengan apa yang terhasil memandangkan kekangan masa dan bajet yang kami hadapi.

10. Cabaran untuk menghasilkan filem ini?

Pandemik Covid-19 – kena ubah jadual cukup banyak kali, tapi kami terus bekerja. Susah gila nak cari lokasi. Paska produksi – CGI & sound (adunan bunyi dan muzik) – memang susah nak buat secara jarak jauh, tak boleh travel ke luar negara, pergi Ampang pun tak boleh.

11. Ada ke berlaku sebarang kejadian seram sepanjang penggambaran?

Ada juga sekali-dua, nasib baik bukan jiran-jiran yang duduk di rumah penggambaran yang kena rasuk.

12. Apakah filem atau projek anda selepas Harum Malam?

Projek Apparat seterusnya ialah komedi-fantasi-gelap, ‘Farid’ – Nandita sedang menulis skrip bersama Ben Omar dan Emir Ezwan; Emir akan mengarahkan. Saya sedang menulis skrip untuk cerita rakyat yang dipanggil ‘Dari Laut, Balik ke Laut’ yang akan menjalani penggambaran di tempat paling saya gemar di dunia, Terengganu, di mana saya akan menggunakan cerita rakyat Melayu lama dalam fenomena moden.

13. Harapan untuk filem ini?

Harapan saya pada filem ini ialah orang ramai akan suka filem ini, tak kira apa taraf, kelas dan bangsa. Setakat mana orang boleh “suka” filem yang cukup menakutkan (sambil ketawa).

SINOPSIS HARUM MALAM

Iqbal, seorang remaja lelaki yang mempunyai kebolehan luar biasa, merasakan dirinya ‘diseksa’ dengan kebolehnnya yang mampu melihat orang mati dan makhluk-makhluk dari alam ghaib.  Apabila satu makhluk ghaib  yang gelap mula menimbulkan malapetaka di sekelilingnya, Iqbal terpaksa berhadapan dengan kebolehannya untuk menyelamatkan keluarga serta rakan-rakannya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!