Jika mahu dikatakan bahalol, nanti ada yang berasa penggunaan perkataan tersebut terlalu kasar.
Tapi daripada mencarut, barangkali bahalol adalah kata tingkat teratas namun paling sopan bunyinya untuk menggambarkan tindakan biadab dua anggota kumpulan yang bercium mulut sesama jenis, mengagungkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan mengutuk peraturan kerajaan Malaysia yang selama ini cuba dipatuhi sebaik-baiknya.
Mereka adalah vokalis The 1975, Matty Healy yang dengan sikap tololnya tanpa ada perasaan malu waima sedikit bercium mulut bersama pemain bassnya, Ross McDonalds di ata pentas konsert Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarbangsa Sepang, Selangor, semalam.
Kalau boleh penulis tidak mahu mengulang banyak kali nama mereka dan kumpulan kerana tidak mahu menjadikan mereka popular berkali ganda atas alasan bahalol seperti ini.
Tetapi ada sesuatu yang masih perlu dibahaskan.
Dalam peradaban manusia, tindakan tersebut adalah jijik — langsung tidak cool apalagi layak dicontohi.
Adakah dengan konotasi ‘terbuka’, perlakuan kurang sopan seperti ini layak diakui sebagai kebebasan hak asasi manusia atau kebebasan bersuara?
Ini adalah biadab dan tidak boleh diterima oleh akal logik manusia normal yang sedar bahawa hidup berpasangan itu adalah antara lelaki dan wanita, berkelakuan sopan dan baik di tempat awam itu norma manusia biasa atau jika sekalipun lantang ingin bersuara, gunakanlah akal bukannya kepala lutut wahai sekalian manusia!
Iya, artikel ini bunyinya berbaur emosi. Masakan tidak emosi kerana natijah daripada tindakan bahalol mereka memberi banyak implikasi bukan hanya kepada negara tetapi mengenai industri seni tempatan.
Dan inilah yang dikatakan malah tepat lagi jelas dengan perumpamaan — kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Dua lelaki bercium mulut di atas pentas di hadapan peminat dan dua lelaki ini adalah sebahagian daripada pelaku seni antarabangsa yang dibenarkan masuk membuat persembahan di Malaysia.
Sedarkah anda selama ini Malaysia menjadi negara Islam yang sangat sukar memberi kebenaran masuk penghibur antarabangsa terutama kumpulan (kita sedang bercakap dalam konteks kumpulan) atas alasan yang terkadang aneh-aneh berbanding memberi kebenaran banyaknya penghibur solo atau wanita yang tidak kurang ‘ghairah’ pada pandangan mata dan implikasinya?
Tahukah anda betapa sukarnya penganjur berusaha keras meyakinkan pihak yang berkuasa bahawa membawa masuk sesebuah kumpulan membuat persembahan di Malaysia bukanlah sebuah kesalahan fatal?
Maklumkah anda juga bahawa saat ini industri hiburan sedang berhidup dan berkembang sekaligus membuka kembali banyaknya peluang pekerjaan kepada tim atau karyawan seni bekerja dalam penganjuran konsert atau festival yang bersemarak saat ini?
Permasalahan di atas hanyalah sebahagian daripada mudarat yang lebih besar diberikan kepada Malaysia yang mungkin akan membatalkan terus agenda konsert kugiran luar negara selepas ini.
Bayangkan setelah ‘berperang’ bermati-matian untuk hanya memperoleh walau sekeping tiket Coldplay yang perdana kali akan masuk ke Malaysia pada 22 November depan, konsert mereka barangkali tidak akan pernah terwujud.
Bagaimana pula keadaannya dengan penganjuran konsert Muse yang hanya akan berlangsung sekitar satu minggu dari sekarang? Apakah kesulitan yang bakal dihadapi penganjur kelak dan adakah ‘lepas’ Muse yang menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara bertemu peminatnya beraksi pada 27 Julai ini?
Ini hanya dua contoh mudah tentang natijah daripada bahalolnya sikap orang lain yang mungkin meninggalkan otak di negara mereka lalu terbang dan bermain di Malaysia untuk menampilkan sisi biadab mereka.
Ini juga yang dikatakan apabila masuk ke rumah orang, jadilah tetamu bukan raja. Jika masuk ke rumah orang, bersopanlah bukan menunjuk belang.
Ini juga yang dikatakan dalam banyak bahasa pasar — jika bodoh simpanlah ia di rumah jangan dibawa keluar, malu dan kelak banyak padahnya.
Hai entah apalah nasib penganjur dengan konsert lokal atau antarabangsa yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan.
Jangan pula selepas ini ada 1001 peraturan yang diberikan kepada penganjur dan pengunjung untuk hanya sekadar mendengar dan melihat persembahan secara berdepan sehingga kesukaran itu membuat kita tidak bernafsu untuk keluar berpesta.
Dan paling penting, ini Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia seketat apapun undang-undang dan peraturan yang mungkin kita juga terkadang berasa ia mungkin ‘tak masuk akal’ mari kita ‘rolling eyes’, kita tetap rakyat Malaysia yang punya patriotisme dan tentu sekali akan menentang apapun ancaman terhadap negara tercinta.
Tolong hormat negaraku, tanah tumpah darahku — Malaysia.
Be First to Comment