Srikandi muzik yang tidak pernah kenal erti lelah dalam perjuangan seninya, penyanyi-penggubah lagu bertaraf antarabangsa, anak kelahiran Malaysia, Yuna mempersembahkan sebuah EP (extended play) berjudul ‘MASIH YUNA’ dengan empat trek dalam Bahasa Melayu sepenuhnya buat halwa telinga.
Lagu-lagu yang terkandung dalam EP ini adalah Menanti, Asing, Masih Sunyi dan Camaraderie merupakan hasil ciptaan Yuna sendiri bersama barisan komposer antarabangsa berbakat dan diterbitkan oleh Yuna Music.
“Terlebih dahulu, syukur Alhamdulillah dengan sambutan memberangsangkan terhadap single Menanti oleh peminat-peminat saya, ramai yang sukakan lagu tersebut kerana maksudnya yang menyentuh jiwa seakan menjemput kembali sebuah memori silam dan juga emosi masa lalu,” mulai Yuna membuka bicara.
Enam tahun adalah tempoh yang agak lama buat peminat di Malaysia yang ternanti-nanti bila agaknya Yuna akan kembali menghasilkan karya-karya dalam Bahasa Melayu, jelasnya, “Sejujurnya saya pun rindu hendak mencipta lagu Melayu, tetapi saya tahu kalau hanya satu mungkin tidak mencukupi, jadi saya hadiahkah empat kesemuanya sekaligus khas buat peminat.
“Sepanjang karier muzik, banyak komen yang saya terima daripada peminat bahawa saya sudah lupa diri, lupa dengan Malaysia, dan juga lupa kepada peminat-peminat di Malaysia.
“Namun, saya tidak ambil hati kerana itu semua tidak betul, saya masih Yuna yang anda kenal, bezanya selepas 10 tahun berada di Amerika Syarikat, banyak pengalaman yang saya timba. Album ini ibarat ‘surat cinta’ buat peminat di Malaysia setelah berkelana jauh di negeri orang.
EP MASIH YUNA masih mengekalkan ‘signature’ bunyi Yuna yang kita rindui tetapi lebih ‘elevated’ dengan paduan nuansa muzik folk, R&B, pop dan juga balada yang melankolik membangkitkan perasaan ‘sendu’ tetapi tidaklah terlalu melara jiwa, jelas Yuna tentang EP ini, “Ketika dalam proses penghasilan EP ini, saya fokuskan terhadap apa yang peminat di Malaysia mahukan dari saya, cerita saya, perasaan saya, kisah peribadi saya seperti masih berasa sedih dengan kehilangan sepupu rapat yang saya anggap seperti adik sendiri dan mahu berikan yang terbaik agar dia juga turut bangga dengan apa yang telah saya hasilkan.
“Salah satu trek yang terkandung dalam EP ini adalah lagu Camaraderie yang menceritakan tentang kepercayaan terhadap sesebuah perhubungan atau persahabatan yang telah berakhir, saya pasti semua orang pernah mengalami perasaan dikhianati oleh seseorang yang rapat, segala kepercayaan itu hilang dan proses ‘healing’ itu agak berat tetapi jangan biarkan perasaan itu mengawal diri, kita perlu bangkit dan terus maju ke hadapan dengan penuh keyakinan.
Menurut Yuna, lebih kurang dua bulan masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan keseluruhan EP dan hanya di lakukan di rumah sahaja di Los Angeles, Amerika Syarikat, katanya, “Saya hanya membataskan selama tiga jam sahaja tempoh bekerja di hadapan komputer dan perlu disiplin ambil masa untuk berehat kerana tidak mahu terlalu ‘overwork’, lagi pula tidak bagus jika terdedah dengan bunyi yang kuat dalam jangka masa yang lama.
Single Menanti yang telah dilancarkan pada 18 Mac lalu turut dihasilkan dengan sebuah video lirik yang menampilkan visual menarik menggamit emosi ‘sendu’ para penonton.
“Setakat ini, hanya video lirik Menanti sahaja yang dihasilkan dan lain-lain masih lagi dalam perancangan.
“Saya harap peminat akan suka EP MASIH YUNA ini kerana ianya sangat istimewa, dan saya seronok menghasilkannya. Dan buat mereka yang baru mula mengenali muzik saya, ini adalah peluang terbaik buat anda untuk lebih menghargai karya-karya saya, terima kasih kepada peminat yang selalu menyokong dari mula hingga sekarang.
“Perjalanan muzik saya di Malaysia dan juga Amerika Syarikat bukanlah sesuatu yang mudah, terlalu banyak cabarannya dan adakalanya saya rasa putus asa, tapi peminat-peminat Malaysialah yang selalu memberi kata-kata semangat, jadi EP ini adalah hadiah buat anda!
Lagu-lagu yang terkandung dalam EP MASIH YUNA boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Audio single dan video lirik EP tersebut boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Yuna.
Be First to Comment