MEMILIH Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi pilihan di Asia, jadi kena ‘sidai’ lebih sejam, no hal buat rata-rata peminat tegar Muse yang nyata sukar untuk move on dengan persembahan mereka baru-baru ini.
Walaupun ramai yang mula resah menanti kemunculan trio ini di pentas namun sebaik panggung dibuka, semua rasa gundah hilang bertebaran.
Penuh enegetik, persembahan kumpulan alternatif rock British itu bukan sahaja menakjubkan buat peminat fanatik malah mungkin menjadi antara kenangan indah buat mereka.
Dengan sistem bunyi yang padu, Muse menghiburkan lebih 50,000 penonton yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil termasuk dari Indonesia, Thailand dan Singapura.
Membuka panggung dengan lagu Will of the People, pemenang dua kali Anugerah Grammy itu menggegar venue sepanjang 90 minit persembahan dengan seleksi lagu-lagu pilihan biar terpaksa menggugurkan sebuah lagu daripada senarai.
Lagu Hysteria dalam senarai kedua persembahan membuatkan peminat ‘histeria’ sebelum Matthew Bellamy, Chris Wolstenholme dan Dominic Howard terus menghangatkan pentas dengan lagu-lagu antaranya Time is running out, Madness, Resistance, Supermassive Black Hole, Plug in Baby, Uprising dan Starlight sebelum menutup persembahan dengan Knights of Cydonia.
Sepanjang 23 buah lagu yang dipersembahkan pada malam itu para peminat bukan sahaja menjerit kegembiraan malah turut menari dan menyanyi bersama.
Malah band terkenal 90-an itu turut memukau peminat dengan set-up pentas dan montaj selain penggunaan ‘pyrotechnics’ setinggi 40 kaki yang melatari persembahan.
Bellamy biar kurang berinteaksi tetap cuba mengambil hati audience tempatan dengan mengungkap sepatah dua kata dalam Bahasa Malaysia.
Terima Kasih antara yang diungkap dan Bellamy menyatakan rasa terharu dan gembira kerana dapat kembali ke Kuala Lumpur selepas kali terakhir pada 2007. -WI-
Be First to Comment