Press "Enter" to skip to content

Munajat Karya Terkini M.Nasir

SETELAH sekian lama tidak muncul dengan karya baharu, Munajat menjadi buah tangan terkini Datuk M. Nasir buat para pecinta muzik tanah air.

Single ciptaan sifu muzik itu merupakan lagu runut bunyi (OST) untuk filem Imam yang bakal ditayangkan pada 2 Mac ini.

Imam turut dibintangi M. Nasir sebagai watak utama.

Filem Imam yang diarahkan oleh Mior Hashim Manap merupakan sebuah adaptasi karya agung Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dan turut dibintangi oleh Vanida Imran dan Faizal Hussein.

Menurut M. Nasir, beliau ditanggungjawabkan untuk mencipta lagu OST Imam oleh Mior Hashim Manap yang juga merupakan penerbit filem tersebut.

“Munajat secara umum membawa maksud doa atau rintihan hati yang selalunya dalam bentuk zikir bertujuan untuk merayu dan meminta keredaan Tuhan Yang Maha Esa iaitu tujuan sebenar seorang Muslim,” katanya.

Single ini telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran YouTube Luncai Emas sejak 10 Februari lalu.

Imam mengisahkan tentang kepulangan Imam Haji Mihad ke kampungnya, Kampung Anggrik Desa, setelah lama menghilangkan diri.

Apabila dilantik oleh penduduk kampung untuk menjadi Imam baharu menggantikan Imam
tua, Haji Abdul Rahman, beliau berusaha untuk membawa pambaharuan kepada masjid tersebut namun usahanya mendapat tentangan daripada penduduk yang masih jumud.

“Percanggahan pendapat antara Imam Lama dan Imam Baru melahirkan persengketaan yang mengalihkan perhatian orang daripada tujuan sebenar itu, dan lagu ini berusaha untuk mengingatkan kembali perkara tersebut.” kata M. Nasir.

Beliau sebelum ini pernah membintangi filem-filem antaranya Kembara Seniman Jalanan, Merah, Balada dan Puteri Gunung Ledang.

Kali terakhir beliau muncul dengan album Sang Pecinta kira-kira 18 tahun lalu.

Buah tangan terbaru yang pasti mengubati kerinduan peminat. – WI

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!