Ucapan penghargaan terima kasih patut dirakamkan buat penganjur Hello Universe yang mengumumkan mereka berjaya membawa kumpulan legenda, Muse, kembali beraksi di Malaysia.
Muse akan kembali menggegarkan Kuala Lumpur dengan muzik mereka pada 29 Julai 2023 dan lebih membanggakan, Malaysia menjadi satu-satunya negara di Asia yang dipilih kumpulan tersebut dalam rangka tour album terkini, Will of the People.
Dinamakan sebagai Muse Will of the People Tour 2023, kumpulan dengan tiga anggota iaitu Matt Bellamy, Chris Wolstenholme dan Dominic Howard dibawakan penuh bergaya oleh Hello Universe selaku penganjur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hello Universe, Adam Ashraf, sesi memujuk dan negosiasi telah berjalan sejak tahun lalu dan hanya dipersetujui oleh pihak Muse pada Januari 2023.
“Kami amat berbesar hati kerana akhirnya dapat mengumumkan Will of the People akan berada di Malaysia pada 29 Julai 2023.
“Ini akan menjadi sebuah konsert yang sangat eksklusif kerana Malaysia menjadi satu-satunya negara Asia yang disinggahi dan kami menjangkakan kedatangan peminat dari benua Asia Tenggara, Asia Utara dan Australia berhimpun di Kuala Lumpur untuk menyaksikan Muse,” kata Adam saat bertemu media dalam sidang media yang diadakan di Zepp, Kuala Lumpur.
Belum mengumumkan lokasi, Adam mengatakan konsert kali ini akan dilangsungkan secara outdoor berbanding pada 2007 lalu yang dijalankan secara indoor.
Malah ia hanya akan berlangsung untuk satu malam dan dijangka menjadi sejarah bukan sahaja buat penganjur, kumpulan tersebut tetapi Malaysia sendiri.
“Kami akan umumkan lokasi yang pastinya outdoor dalam masa terdekat. Akan ada band pembuka yang dipilih sendiri oleh Muse dan akan kami umumkan sekali nanti.
“Tiket dengan harga serendah RM350, RM550 dan RM950 juga akan mula dijual pada 2 Mac (pra-jualan) bermula pukul 10 pagi dan 3 Mac untuk umum,” maklum Adam lagi.
Will of the People adalah album studio ke-sembilan Muse yang cukup terkenal menerusi lagu-lagu seperti Hysteria dan Starlight.
Be First to Comment