Press "Enter" to skip to content

Senandung Syair Timur Ramli Sarip

MUNGKIN lagu-lagu yang didendangkan pada malam minggu lalu agak kurang ‘mesra’ di halwa telinga segelintir penonton yang memenuhi Dewan Filharmonik Petronas (DFP) namun kebanyakan mereka larut dalam setiap bait puitis yang dilontarkan.

Bersenandung dalam persembahan Syair Timur sempena sambutan ulangtahun ke-25 DFP, lagu, lirik dan vokal Datuk Ramli Sarip memberi rasa tersendiri buat audiens yang hadir.

Empunya diri sendiri mengakui koleksi lagu-lagu pilihan yang dikongsinya untuk persembahan pada malam itu adalah rare kerana lagu-lagunya memiliki jiwa yang indah untuk dirasai dan dihayati.

Diinspirasikan dari album kerohanian berjudul sama yang diterbitkan pada 1997, kompasisi lagu-lagu yang dimainkan pada malam itu penuh energetik dengan sentuhan fusion tradisional yang segar.

“Satu petanda baik kerana penonton boleh ‘layan’ lagu-lagu sebegini yang jarang dimainkan di pentas,” ujarnya yang ditemui usai persembahan.

Diiringi band Soul Journey, Ramli juga mengakui, dia memberi kebebasan kepada pemuzik pengiringnya untuk berkarya kerana baginya mereka saling melengkapi.

Menyenaraikan 14 buah lagu pilihan, pasti sahaja penggemar tegar Ramli sejak zaman Sweet Charity berasa tidak puas selagi Papa Rock itu tidak berdendang lagu ikonik kumpulan itu.

Justeru Batu biar hanya sekadar selingan tetap membuat peminat bersorak kegembiraan.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Orang Tua Bersidi Sakti, Sejuta Wajah menghangatkan suasana sebelum terus membuai rasa dengan pilihan lagu-lagu Kekasihku, Syair Laila Majnun, Joget Selangkah Rindu, Ufuk Nurani, ‘Iqra dan Cinta Di Sebalik Musim.

Bukan Kerana Nama melonjak andrenalin penonton selain Ronggeng Rakyat serta Adam dan Hawa. Sempat turun menemui peminat sebelum berdendang lagu Kamelia dan Teratai yang sepatutnya menjadi lagu penutup persembahan namun mereka seolah-olah tidak mahu berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Malah dalam tawanya Ramli yang memberitahu persembahannya sudah selesai bermurah hati untuk menambah sebuah lagu sebagai encore dan Istilah Bercinta menjadi pilihan sebagai menghargai para peminat setianya.

“Malam ini rasa tak cukup,” kata Ramli yang hadir buat kali kedua untuk persembahan solo di DFP. Kali pertama adalah pada 2010.

“Malam ini kita persembahkan lagu-lagu yang jarang didengar tetapi tetap juga kongsi lagu popular pujaan peminat yang kena dengan tema seperti Kamelia dan Teratai yang punya bait-bait puitis,” tambahnya.

Selain Ramli, artis lain yang memeriahkan ulangtahun ke-25 penubuhan DFP adalah Exist pada 3 Jun, Masdo (22Julai), Khai Bahar (11 Nivember) dan Meet Uncle Hussain (2Disember). – WI

 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!