Press "Enter" to skip to content

Kolektif Inspirasi Dan Momen Hidup, Zamaera Muncul Dengan ‘DULU’

“Dulu sangat istimewa buat saya. Ia mengisi momen dan pengalaman yang dilalui sebagai artis pada tahun 2012 dahulu sehingga sekarang. Semuanya dituang dengan jelas melalui lirik yang ditulis,” luah Zamaera mengenai single terbaharunya.

“Ramai yang tidak tahu saya seorang penyanyi sebelum menjadi rapper pada 2017.

“Saya juga menyelusuri bakat seawal usia 9 tahun dan telah menang sebuah pertandingan bercerita yang merupakan permulaan perjalanan hidup saya sebagai penulis lirik. Itu membuat saya bersyukur kerana pernah melewati hal-hal terbaik sedemikian,” kata Zamaera.

Sentiasa energetik, kreatif dan hangat menjadikan rapper, penyanyi serta penulis lirik Zamaera punya identiti yang kuat untuk diingati.

Sifat ‘ramah’ pemilik nama sebenar Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen malah terlihat dalam karya-karya yang dihasilkannya sebelum ini termasuk single sulungnya, Helly Kelly.

Cukup mudah untuk dikenali dengan imej dan attitude tersendiri, Zamaera kembali merencana kariernya pada tahun ini lewat single terbaharu yang diberi judul Dulu.

Dulu disifatkan penyanyi berusia 28 tahun sebagai karya yang menghimpunkan momen dan pengalaman karier seninya selama ini.

Ia dihasilkan oleh Zamaera seperti air mengalir dan setiap bait perkataan yang ditulis mencerminkan perasaannya.

Single DULU telah dilancarkan pada hari Jumaat lalu, 19 Mei 2023 manakala video muziknya akan dilancarkan pada 26 Mei 2023.

Dulu menjadi lebih dekat dengan dirinya apabila Zamaera menyelitkan baik ‘Tipah Tertipu Tertipu Tipu Tertipah’ yang diambil daripada lirik lagu hit milik kumpulan Ruffedge.

“Saya mahu lirik itu ada dalam Dulu kerana ia ‘bergema’ dalam ingatan dalam banyak fasa kehidupan saya sama ada secara peribadi atau karier.

“Pah juga adalah singkatan daripada Sharifah,” katanya yang melahirkan EP dengan judul Z pada tahun 2019.

Menurut Zamaera, Dulu ditulis pada tahun 2020 selepas dirinya berkenalan dengan seorang penerbit  berbakat besar, Wolfy, anak kelahiran Malaysia yang menetap di Australia.

Kini setelah ia siap untuk dipasar dan diperdengarkan, Dulu juga mahu divisualkan dalam sebuah jalan cerita di klip videonya.

Klip video Dulu dijadualkan bertemu peminat buat pertama kali pada 26 Mei ini, satu minggu selepas single istimewa ini dilancarkan di semua platform. Klip video ini dihasilkan oleh sahabat zaman persekolahannya, Fitri Ayub.

“Saya juga akan berinteraksi dengan peminat menerusi Instagram secara langsung semasa klip video ini dilancarkan dan tidak sabar bertemu semua,” katanya penuh teruja.

Lebih membanggakan, Dulu menerima banyak dukungan daripada pelbagai pihak termasuk Limkokwing University of Creative Technology (LUCT) yang menaja lokasi utama penggambaran klip video serta pereka terkenal, Syomirizwa Gupta, Alia Bastamam dan Shaleen Cheah untuk busana-busana yang digayakan dalam single tersebut.

Memulakan karier dalam industri muzik pada usia seawal 17 tahun, Zamaera telah semakin melangkah jauh dalam dunia Hip Hop. Berawal dengan menimba pengalaman bersama nama-nama besar seperti Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet, kini Zamaera mengukir laluannya sendiri sebagai artis indipenden, pada usia 28 tahun.

Selain Dulu yang akan menambah kemas portfolio kariernya sebagai pelaku seni, Zamaera juga sudah terkenal lewat hitnya yang lain termasuk Get Munni, Jangan Salah Sangka dan Still Callin.

Karier seninya diiktiraf sehingga ke dunia antarabangsa sekaligus memberinya pengalaman menjadi wakil Malaysia yang mengisi pentas Asean-Korean Music Festival Round 2020.

Untuk tahun ini mari kita mengucapkan selamat dan sukses dengan kemunculan single paling terbaru daripada Zamaera, Dulu.

“Saya juga ada sesuatu yang besar untuk diumumkan, tapi buat masa ini mari layan Dulu terlebih dahulu,” katanya.

 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!