Pertama sekali tahniah diucapkan kepada peminat filem tempatan kerana memilih menonton naskhah francais Polis Evo iaitu Polis Evo 3 berbanding karya antarabangsa.
Berkat sokongan padu tersebut, Polis Evo 3 yang baru ditayangkan pada 24 Mei (tayangan awal) dan tayangan rasmi (25 Mei 2023) berjaya mencatat kutipan yang memberangsangkan.
Karya sentuhan perdana sutradara Syafiq Yusof itu mencatatkan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM3.4 juta untuk kedua-dua hari tayangan.
Kutipan sebanyak RM3.4 juta tersebut diharap akan terus meningkat sekaligus mampu mencetak sejarah tersendiri selepas siri pertamanya, Polis Evo pada tahun 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta, sementara Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah kutipan RM23 juta.
Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan pilihan penonton memilih mengutamakan karya tempatan sebagai bahan tontonan.
“Syukur Alhamdulillah, sokongan penonton terhadap Polis Evo 3 amat luar biasa.
“Momentum positif ini membuktikan penonton kita masih meletakkan kepercayaan pada karya tempatan. Kami harap penonton akan berpuas hati serta terhibur selepas menyaksikan Polis Evo 3.
“Kejayaan filem tempatan mengatasi kutipan filem antarabangsa ini juga selaras dengan tagline Polis Evo 3 iaitu ‘Kita Lagi Kuat Boh’,” kata Raja Jastina dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Polis Evo 3 terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures yang dihasilkan dengan bajet RM6 juta menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.
Ia mengisahkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.
Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai.
Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.
Dalam usaha memastikan filem ini terus menguasai pawagam-pawagam di seluruh tanah air, pihak produksi telah mengatur siri jelajah Polis Evo 3 bermula hari ini 26 hingga 28 Mei (Ahad) di Terengganu dan Pahang.
Sementara pada 2 Jun pula, siri yang sama akan singgah di Seremban, manakala peminat-peminat di tiga negeri di utara tanah air iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak pula berpeluang menghadiri jelajah yang sama masing-masing pada 3, 4 dan 5 Jun ini.
Peminat di Singapura, Johor dan Melaka pula berpeluang menjayakan siri jelajah itu pada 8 hingga 11 Jun.
Be First to Comment