MEREKA mengiringi setiap lagu bukan sahaja dengan tepukan gemuruh dan jeritan gembira tetapi berdendang bersama sepanjang persembahan berlangsung.
Nyata malam minggu 3 Jun 2023 memberi kepuasan buat para peminat Exists yang hadir memenuhi Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.
Manakan tidak, sepanjang dua jam persembahan, peminat bukan sahaja dihiburkan dengan 16 seleksi lagu popular Exists secara penuh tetapi lebih utama, pilihan lagu-lagu yang boleh didendangkan bersama (sing along!).
Tentu sahaja di pentas dewan yang memiliki akustika lagi eksklusif, nyanyian peminat yang mengiringi setiap bait lagu memberi makna tersendiri buat setiap ahli Exist – Ajai, Along, Ujang, Musa, Mamat dan Ezad.
“Mereka adalah nyawa muzik kami.” Itu kata-kata penghargaan yang tak terhingga anggota Exists buat para peminat setia yang memenuhi dewan dan telah menyokong perjuangan seni mereka sejak tiga dekad lalu.
Justeru, mereka mahu memberi hanya yang terbaik buat ‘nyawa’ mereka agar setiap persembahan menjadi kenangan terindah buat para peminat setia Exists.
“Dengan dewan akustika DFP, kami bukan sahaja rasa dekat dengan peminat malah mendengar mereka menyanyi bersama memberi satu rasa keterujaan buat kami,” kata Exists.
Malah peluang merakamkan momen di pentas DFP untuk meraikan ulangtahun ke-25 penubuhan dewan berprestij itu buat Exist merupakan peluang terbaik untuk profil seni mereka.
Memuatkan 920 peminat fanatik Exists, akui mereka, kejayaan persembahan tersebut berkait rapat dengan penganjur, pemuzik dan peminat malah tanda aras kejayaan persembahan itu antara lain tentunya keberhasilan jualan tiket dalam masa sebulan selepas dilancarkan pada Januari lalu.
“Peminat grab tiket awal itu petanda sihat. Malah kalau kita lihat, mereka yang hadir adalah peminat yang sudah dewasa dan matang yang memiliki kuasa membeli. Sokongan begini amat bermakna buat kami,” tambah mereka.
Membuka persembahan dengan lagu Seperti Dulu, Exists mengekalkan keaslian komposisi lagu-lagu yang dipilih dengan hanya 40 peratus sahaja lagu yang disusun semula untuk akustik bagi
lagu Pertama, Masih Terserlah Ayumu dan Janji Padamu.
“Kita tidak mahu mengubah susunan keterlaluan sehingga peminat tidak rasa lagi keaslian lagu-lagu kami. Kami mahu mereka terhibur.
“Dan seleksinya adalah lagu-lagu yang mereka boleh nyanyikan bersama,” kata Exist yang tentunya tidak ketinggalan mendendangkan lagu ikonik Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Rahsia Pohon Cemara dan Langkah Seiringan yang mendapat tepukan gemuruh daripada audiens.
Penonton juga menjerit gembira apabila mereka mendendangkan lagu-lagu Percayakan Siti, Julia, Jesnita, Bunga, Nota Di Lautan Sepi, Anugerah, Kapal Terbang Kertas sebelum menutup persembahan dengan Alasanmu.
“Teringat zaman dulu… melihat Mamat (menyanyi)… melihat Ezad. Masih sehati. Rasa real dan sampai. Konsert ini ikut kehendak (kami) dan sukses. Satu pengalaman baru,” kata mereka yang menyimpan impian untuk berkolaborasi dengan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).
Malah Exists sempat menitip pesanan yang mereka akan mengadakan konsert di Singapura selain konsert unplugged pada Januari depan serta konsert jelajah satu Malaysia. – WI
TRIVIA
⁃Exist ditubuhkan pada Mac 1991 dan pada 1997 mereka menambah huruf S pada nama kumpulan itu
⁃Shah (Slam) merupakan anggota asal Exist sebelum meninggalkan kumpulan itu pada 1993
⁃1994 Exist kehilangan Mamat sebelum digantikan dengan Ezad
⁃Joey Daud pernah menganggotai Exists (2009) selepas Ezad menarik diri untuk bergerak secara solo
⁃Sepanjang tiga dekad dalam industri Exists menghasilkan 15 buah album termasuk album kompilasi
⁃Exists meletup di Indonesia menerusi lagu Alasanmu (1995) sebelum lagu Mengintai Dari Tirai Kamar meledak di republik tersebut dengan judul Buih Jadi Permaidani.
photo credit : gambar profile band oleh Rudy Hirwan
Be First to Comment