Dua malam yang sukses. Dua malam yang indah. Dua malam yang luar biasa. Dua malam penuh momen dan telah mencetak sejarah tersendiri.
Ia juga adalah dua malam yang ‘gila’ dan dua malam yang ‘liar’ bukan sahaja harus didedikasikan buat sang ratu Rock Ella tetapi juga untuk penggemar yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia dan negara tetangga seperti Indonesia serta Singapura.
Perihal ‘liar’ dan ‘gila’ dua malam ini adalah mengenai Konsert Jilid Akhir : Ella Puteri Kota yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada pertengahan Jun lalu.
Ella pada dua malam itu benar-benar mengangkat makna ‘Ratu’ yang diberikan kepadanya. Hanya seorang figura, wanita pula, berjaya meyakinkan lautan manusia dari pelbagai lapisan generasi hadir ke konsertnya.
Dan bukan sekadar hadir, setiap seorang daripada penggemar sangat lancar menghafal tembang-tembang penyanyi ini sejak zaman 80-an sehingga hit terakhirnya yang dirakamkan beberapa tahun kebelakangan ini.
Belum pun Permata Pemotong Permata misalnya didendangkan, penggemar sudah cukup antusias langsung menyanyi bersama. Gamat dan tak terkendali.
Begitu juga saat penyanyi yang sudah lebih tiga dekad meladeni sepak terajang dunia seni itu melantunkan hitnya yang lain seperti Simbosis, Pengemis Cinta, Layar Impian, Nuri dan Gemilang.
Dan hit seperti Standing In The Eyes of The World pula menjadi anthem buat penggemar meski konsert anjuran Hitman Solutions itu belum usai.
Pendek kata semua yang dipersembahkan malam itu termasuk membawakan tetamu jemputan iaitu pesohor Datuk Amy Search dan Datuk Ramli Sarip untuk setiap satu malam serta duet romantis bersama sang suami, Azhar adalah sebuah momen yang tak boleh dilupakan.
Syabas buat seorang Ella —- gadis kelahiran Klang yang pada awal karier sudah memahat nama dengan Ella & The Boys sehingga karier solonya kukuh tidak tergoyahkan sejak berdekad.
Syabas juga buat Ella dan seluruh produksi konsert. Syabas juga buat Ella dan tim yang berjaya membuat namanya kekal relevan juga disanjung terus sebagai Ratu Rock tanah air.
Ella, anda adalah seorang Ratu yang telah menakluk Malaya bukan sahaja lewat konsert yang dianjurkan tetapi menerusi karisma juga bakat semulajadi kurniaan Ilahi yang digunakan dengan baik lantas menjadikan jenama anda tidak boleh diketepi.
Be First to Comment