Yak Yay Yei — barangkali inilah ungkapan paling popular seisi rumah, seluruh Malaysia dan semua peminat yang berharap juga mengundi agar ‘Yang Berhormat Barkoba menang di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABP35).
Barkoba, nama sebenarnya dalam kad pengenalan adalah Nasrizal Ngasri. Beliau mengunakan nama pentas Bell Ngasri, seorang pelaku seni yang kini berusia 42 tahun.
Beliau diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABP 35 dan Artis Komedi Popular ABP 35 pada penganjuran yang berlangsung di Istana Budaya, malam tadi.
“37 tahun saya nak dapat perkataan popular di belakang. Saya tak nak nangis malam ini,” katanya sewaktu memberi ucapan selepas dinobat Artis Komedi Popular ABP 35.
Namun Bell tewas, beliau dilihat menyeka air mata saat berada di pentas dengan menggengam trofi Bintang Paling Popular ABP 35.
Panjang ucapannya. Antara yang disampaikan dalam haru dan humor adalah mengenang bagaimana dirinya pernah menjadi pelaku seni yang tidak mengharapkan pengiktirafan dalam setiap kerja yang dilakukan.
“Allahuakhbar, bersyukur ke hadrat Ilahi,” katanya sambil menyeka air mata.
“Saya adalah antara orang yang pernah cakap tak perlu populariti, tak bergantung dengan benda ni tapi masih ada industri.
“Sekecil-kecil watak, berada belakang hero, di celah-celah orang. Muka saya ini hanya muncul untuk layan orang waktu iklan kalau ada acara tapi saya bersyukur ada org yang minat saya. Akhirnya hari ini menjadi bukti,” luah Bell.
Pada masa sama berulang kali Bell mengucapkan terima kasih kepada seluruh Malaysia, pengundi dan netizen yang menyokongnya.
“Saya tidak pernah ada fan club. Entah mana muncul semua peminat tapi saya bersyukur. Terima kasih kepada semua netizen.
“Dan kemenangan ini juga sebenarnya untuk mama yang mahu saya berlakon.
“Bawa saya sejak usia enam tahun turun naik bas pergi berlakon. Ini hadiah untuk dia. Dia yang nak sangat anak dia berlakon sampai sekarang, ‘ah Bell dah buat’,” katanya lagi sambil disambut sorakan penonton.
Paling tidak mahu dilupakan juga oleh Bell adalah pengasas atau pencipta watak Barkoba iaitu sutradara tersohor, Allahyarham Mamat Khalid.
“Arwah Mamat Khalid yang mencipta Barkoba. Satu Malaysia ini yang awak mahu! Yak Yak Yei!,” ucap Bell.
Barkoba adalah watak yang cukup ikonik dalam siri Ramadan, 16 Puasa dan sekuelnya 17 Puasa serta 18 Puasa.
Selain Bell, naskhah tersebut turut dibintangi barisan aktor hebat termasuk Sabri Yunus dan Aziz M. Osman.
Ironi jauh sebelum dikenal akrab sebagai Barkoba — karakter lelaki dengan ikat kepala, Bell Ngasri adalah aktor dengan segudang kebolehan yang banyak diberi kepercayaan membawa karakter ‘berat’.
Beliau malah pada tahun 2001, jauh sebelum gemilangnya diri dikenali sebagai komedian, Bell telah dipercayai oleh sutradara berprolifik U Wei berlaga main dengan aktor handalan Khalid Salleh menerusi filem Kaki Bakar.
Portfolio Bell juga penuh dengan pembabitannya dalam beberapa naskhah serius antaranya Perempuan, Isteri & … yang merupakan filem pertama lakonannya pada tahun 1993 serta pelbagai drama popular termasuk Idaman, juga telefilem seperti Pa’e (1998).
Kini dengan hampir semua genre naskhah sudah dimainkan, sekecil watak sehingga karakter seperti Barkoba yang membuatkan Bell akhirnya menggalas predikat popular dari karier seninya, lelaki ini hanya perlu terus dihormati.
Orangnya mungkin genit tetapi bakat dan kepakaran yang dimiliki hanya ada dalam diri seorang Bell Ngasri.
Yak Yak Yei, Barkoba menang!
Be First to Comment